Firman sibuk dengan promosi Kasih. FOTO Arkib NSTP.
Firman sibuk dengan promosi Kasih. FOTO Arkib NSTP.
Norhayati Nordin


VOKALIS Hyper Act, Firman Bansir, 29, tetap pada janjinya untuk mengutamakan tawaran persembahan berkumpulan berbanding permintaan menyanyi solo.

Walaupun akui berhadapan dilema untuk membuat keputusan, Firman tetap memberi keutamaan kepada Hyper Act yang disertainya sejak Julai tahun lalu.

Katanya, dia tidak boleh bersikap pentingkan diri kerana rakan lain, Akir (keyboard), Ejam (dram), Loco (keyboard) dan Etan (gitar) juga memerlukan sumber pendapatan sepertinya.

“Ada anggota Hyper Act yang berkeluarga dan mereka memerlukan pendapatan tambahan. Oleh itu, saya harus utamakan tawaran menyanyi dengan kumpulan.

“Kalau tawaran menyanyi solo, saya akan pasti ambil cuma sekali dalam sebulan. Tidak dinafikan saya berhadapan dengan dilema juga untuk membuat keputusan tetapi Hyper Act tetap keutamaan,” katanya.

Firman yang juga bagi memudahkan urusan persembahan dia selalunya akan membawa dua atau tiga orang anggota Hyper Act yang lain untuk mengiringinya.

Juara Akademi Fantasia 2014 (AF2014) itu lega kerana single Kasih mendapat sambutan. Katanya, dia makin yakin sudah membuat keputusan betul untuk memberi fokus bergerak aktif bersama Hyper Act.

“Saya terharu dan berbesar hati dengan peluang diperoleh kini kerana laluan karier nyanyian solo saya beberapa tahun lalu agak berliku.

“Semua yang dilalui itu saya anggap sebagai pengalaman hidup kerana sedar tidak mudah untuk mengecap kejayaan,” katanya.

Masih meneruskan promosi Kasih, pemuda kelahiran Tawau, Sabah ini teruja menantikan kemunculan single kedua bersama Hyper Act.

Firman adalah vokalis ketiga Hyper Act selepas Ronnie Hussein dan Kecik.

Ketika bergerak solo hampir tiga tahun, Fiman pernah popular dengan lagu Di Pintumu, Paling dan Bohong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 6:10 PM