Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya sudah berkahwin dan bekerja dalam sektor kerajaan. Bidang tugas saya memerlukan saya kerap ke luar negara dan terpaksa meninggalkan suami dan anak di rumah. Apakah hukumnya bermusafir tanpa ditemani mahram?

FARA

Putrajaya

Islam meletakkan wanita di tempat tinggi demi menjaga kemuliannya dan hak mereka. Justeru, syariat sangat mengambil perhatian teliti dalam masalah wanita bermusafir.

Banyak hadis melarang wanita bermusafir lebih daripada dua marhalah, antaranya sabda Rasulullah bermaksud: "Tidak boleh wanita musafir kecuali bersama mahramnya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah bermaksud: "Janganlah wanita melakukan bermusafir selama tiga hari kecuali bersama mahramnya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehingga ada hadis menyarankan suami menemani isterinya untuk melaksanakan haji berbanding pergi berperang.

Melihat kepada perbincangan ulama yang mendalam, wujud beberapa keperluan untuk wanita bermusafir berdasarkan beberapa alasan. Oleh itu, ada pendapat membenarkan dengan syarat yang sangat ketat.

Antaranya, pemusafiran yang bermanfaat seperti belajar dan berdakwah, bukan sekadar melancong atau berjalan-jalan.

Terjamin keselamatan dalam perjalanan di tempat dituju. Kemudian, bersama kumpulan yang dipercayai dan dapat menjaga keselamatannya. Wanita yang ingin bermusafir hendaklah memastikan syarat ini dengan teliti supaya tidak mengundang dosa.

Malah, lebih dikhuatiri keselamatan dan maruah kehormatan seseorang Muslimah turut lebur yang menjadi tanggungjawab mahramnya. Takutilah Allah dalam urusan ini.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apa yang dikatakan Rasul kepadamu, terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu, tinggalkanlah." (Surah al-Hasyr, ayat 7). Semoga Allah Taala memelihara Muslimah sekalian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:06 AM