Anggota bomba ketika operasi pencarian lelaki yang sesat ketika mendaki Gunung Datuk. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba ketika operasi pencarian lelaki yang sesat ketika mendaki Gunung Datuk. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim

Rembau: Seorang lelaki yang sesat lebih lapan jam ketika mendaki Gunung Datuk, di sini, ditemui selamat oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa, malam ini.

Mangsa, Boy Eik Teck, 26, dari Dangi, Kuala Pilah, mula mendaki seorang diri jam 8 pagi sebelum sesat kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, seramai lapan pegawai dan anggota termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) ke lokasi sejurus menerima panggilan daripada mangsa.

"Bomba memulakan operasi mencari jam 2 petang tadi berdasarkan petunjuk yang diberikan.

"Mangsa bagaimanapun meneruskan perjalanan sementara menunggu bantuan tiba. Mangsa sesat sehingga ke sebuah kawasan perkampungan lalu dibantu seorang penduduk yang menghantarnya semula ke Gunung Datuk jam 8 malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa hanya mengalami calar di badan dan keletihan.

Beliau berkata, mangsa diberikan rawatan awal sebelum mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan operasi ditamatkan jam 8.07 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 9:54 PM