ANGGOTA bomba  membawa turun mangsa. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membawa turun mangsa. FOTO ihsan Bomba
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan


Rembau: Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang mendaki Gunung Datuk, di sini bersama beberapa rakannya lain diselamatkan pasukan bomba selepas mengalami kekejangan otot dan diserang asma, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Ameer Mirza Nor Azlan, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim di sini, terpaksa berhenti ketika menuruni gunung berkenaan akibat kesakitan dialaminya itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.25 petang sebelum 17 anggota termasuk Pasukan Penyelamat, Operasi dan Taktikal Khas (STORM) bergegas ke lokasi.

"Operasi menyelamat dimulakan dan pasukan menemui mangsa berada kira-kira 300 meter dari aras laut dan tersandar pada pokok dalam keadaan lemah.

"Mangsa dibawa turun pada 5.35 petang dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk pemeriksaan. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 7:23 PM