ERRA antara selebriti popular yang mendeklamasi puisi.
ERRA antara selebriti popular yang mendeklamasi puisi.
AIMAN akan menyanyikan lagu popularnya yang diubah suai lirik.
AIMAN akan menyanyikan lagu popularnya yang diubah suai lirik.
MIA Ahmad
MIA Ahmad
JOHAN As’ari memeriahkan acara malam.
JOHAN As’ari memeriahkan acara malam.
Amirul Haswendy Ashari


Tahun baharu bagai tidak meriah tanpa sebarang sambutan untuk meraikannya. Ada meraikannya dengan konsert, solat hajat dan tidak kurang juga berkumpul dengan mereka yang tersayang.

Sempena sambutan tahun baru 2017, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menganjurkan acara menghimpunkan hampir 1,000 anak seni dari pelbagai latar belakang.

Program Doa Untukmu Rohingya untuk anak seni dan media hiburan tempatan menyatakan pendirian masing-masing melalui aktiviti seperti persembahan lagu dan deklamasi puisi.

Puisi yang diterjemahkan itu berupa karya dihasilkan semua lapisan masyarakat dan dideklamasikan secara santai bermula jam 2 petang sehingga 12 tengah malam di Laman Santai, Istana Budaya, hari ini.

Dalam waktu singkat, ramai artis menyatakan persetujuan untuk membaca puisi sebagai tanda sokongan pada projek ini.

Sejak seminggu lalu, promosi mendapat kerjasama stesen televisyen dan radio untuk meuar-uarkannya kepada umum bersama Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin dan artis undangan.

Antaranya, Izzue Islam muncul dalam program Nasi Lemak Kopi O di TV9, Aiman Tino di AmLive (Astro), Hafiz Hamidun di Suria FM serta Fimie Don dan Ayu Damit di Selamat Pagi Malaysia (RTM).

Bagi pelakon dan penyanyi popular, Izzue Islam, acara itu adalah satu pembukaan lembaran tahun baru 2017 yang sangat positif.

Katanya, ia satu acara positif buat seluruh rakyat Malaysia untuk memperingati saudara seagama di Rohingya dan memuji apa yang dilakukan Wham.

“WHAM bukan saja me­ngajak seluruh rakyat Malaysia melakukan aktiviti kemanusiaan malah memberi peluang kepada orang luar menyerlahkan bakat dalam bidang penulisan kreatif terutama puisi.

“Lebih menarik lagi, 100 puisi yang terpilih akan dibukukan sekali gus menjadi rujukan kepada generasi akan datang,” katanya.

Anggota kumpulan Forteen itu juga tidak mahu ketinggalan berkongsi bakat menulis yang ada padanya apabila menghantar tiga puisi ciptaan sendiri.

Izzue juga akan mendeklamasikan puisi ciptaan orang lain dengan gaya tersendiri sebagai tanda soko­ngan padu pada acara ini.

Dalam pada itu, penyanyi remaja sedang meningkat naik, Aiman Tino melihat acara ini sebagai satu cara artis remaja sepertinya dapat menyatakan pendirian berkaitan isu kemanusiaan dengan cara berbeza.

Penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu turut membuat persembahan pada sebelah malam dengan menyanyikan lagu popularnya itu tapi ditukar lirik agar bersesuaian dengan tema acara hari ini.

“Program ini dapat merapatkan jurang antara golongan remaja dan dewasa. Sebagai artis remaja, saya rasa berbangga sebab dapat membantu dan menyertai acara yang julung kali diadakan,” katanya.

Penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun pula berkata, walaupun dia tidak dapat bersama-sama pada acara berlangsung kerana terbabit dengan komitmen lain, dia tetap memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.

Katanya, acara yang berlangsung ini adalah usaha murni yang wajar dijadikan contoh kepada semua pihak apatah lagi membabitkan pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira perbezaan kaum atau agama.

“Bangsa Rohingya diiktiraf oleh UNHCR (Suruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian) sebagai pelarian dan mereka juga berada di negara kita bagi mendapatkan perlindungan.

“Di sini, mereka dapat menikmati keamanan dan bantuan sewajarnya daripada pelbagai pihak,” katanya.

Hafiz juga bangga dengan sokongan dan pembabitan rakan artis lain tidak saja pada hari berlangsungnya acara malah sebelum itu lagi dengan berkongsi di laman sosial masing-masing.

Katanya, dengan pembabitan artis popular yang mempunyai ratusan ribu malah ada mencecah jutaan pengikut di laman sosial, impak kepada program ini pasti besar.

Acara kesenian dan deklamasi puisi serta sajak akan diadakan dua sesi iaitu petang bermula jam 2 petang manakala sesi malam bermula jam 8.

Antara artis yang me­ngambil bahagian pada sebelah petang ialah Daqmie, Soffi Jikan, Elvina Iris, Mark Adam, Waris, Azriel Ismail, Najwa Latiff, Deejay Lin dan Ayai Ilusi.

Turut sama Fimie Don, Abby Fana, Haziq Hot FM, Azmir Ariff, Ani Maiyuni, Syafeek Ikhwan, Dina Nazir, Yus Zainal, Nadia Mustafar dan Raja Azmi.

Pada sebelah malam pula membabitkan kumpulan Raihan, Rabbani, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Erra Fazira, Tasha Shila, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Azharina Azhar, Nora Danish, Uqasha Senrose dan Aiman Tino.

Malah, Johan As’ari, Anis Al Idrus, Syamel, Aiman Tino, Zaiton Sameon, Mia Ahmad, Janna Nick, Izzue Islam dan Sahara Yaacob.

Pemuisi terkenal yang turut serta antaranya Profesor Dr Lim Swee Tin, Profesor Datuk Rahman Saari, Leftenan Dr Radzi, Datuk Dr Zurina Hassan, Zainal Rashid Ahmad, Siti Jasmina Ibrahim, Cikgu Syukri Abdullah dan Persatuan Penyajak ZK Karyawan.

Program ini bertujuan untuk membangkitkan rasa kasih sayang sesama manusia selain meuar-uarkan kepada dunia bahawa anak seni Malaysia menentang penindasan yang berlaku selama ini.

Selain mendapat sokongan penuh daripada Istana Budaya selaku lokasi rasmi, acara ini mendapat kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai penaja dan rakan strategik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:05 AM