AMY Search (kanan) dan Nora.
AMY Search (kanan) dan Nora.
SYAMEL dan Ernie.
SYAMEL dan Ernie.
NABIL dan Janna.
NABIL dan Janna.
MARK Adam
MARK Adam
AIZAT
AIZAT
DARI kiri Ellie, Zain, Rozita, Erra dan Tasha.
DARI kiri Ellie, Zain, Rozita, Erra dan Tasha.
Ridzuan Abdul Rahman


Rakyat negara ini menjadi orang terawal dalam menyatakan keprihatinan mereka terhadap isu kemanusiaan. Pelbagai tabung dan bantuan diwujudkan serta dihulurkan termasuk isu kemanusiaan di Bosnia Herzegovina, gempa bumi Aceh dan penderitaan hidup rakyat Palestin.

Justeru, keprihatinan itu dilangsungkan menerusi program Doa Untukmu Rohingya yang diadakan di Laman Santai, Istana Budaya, Ahad lalu.

Program anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu bermatlamat membawa harapan dan doa agar krisis yang dihadapi etnik Rohingya di Myanmar termasuk penindasan terhadap masyarakat Islam di negara itu segera dihentikan.

Tidak cukup dengan penindasan, mereka juga dibunuh dengan kejam, diseksa dan dirogol pihak tak berperikemanusiaan sehingga menimbulkan polemik kepada masyarakat di seluruh dunia.

Menariknya, program selama 10 jam itu berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menghimpunkan 1,000 penggiat seni tanah air termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi bagi menzahirkan rasa prihatin terhadap apa yang berlaku.

Sejak jam 1 tengah hari peminat sudah hadir membanjiri Laman Santai untuk menyaksikan segmen petang yang membariskan persembahan daripada ‘busker’, pemuisi, penyampai radio dan sebahagian artis tempatan.

Syafeek Ikwan, Izzmad Harun, Raja Azmi, Aisya Hasna, Fimie Don, Aaron Abdul, Nik Putra, Hatta Junction, Afee Utopia, Jaslin Puasa, Awang Abdullah & Grup Alamanda dan Siti Ruqaiyah Hashim antara yang terbabit.

Tidak ketinggalan menyumbangkan tenaga ialah Daqmie, Dj Nazz THR, Abby Fana, Dj Lin, Mark Adam, Syed Amran, Ayai, Eleena Harris, Nubhan, Wan Ahmad, Dina Nazir, Lawa Nie Geng, Waris dan Najwa Latiff. Mereka mengalunkan lagu serta membacakan puisi kemanusiaan yang amat menyentuh perasaan.

Daqmie pada akhir persembahannya meminta semua yang hadir membacakan surah al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada masyarakat Rohingya dan ini sudah cukup mengundang perasaan pilu buat semua yang hadir.

Sementara Aisya Hasna dan Abby Fana pula melahirkan perasaan bangga kerana diundang untuk program ini.

“Program ini amat bagus kerana menggabungkan semua anak seni daripada pelbagai bidang bagi menzahirkan sokongan dan keprihatinan yang ditanggung oleh etnik Rohingya.

“Ia perlu dibuat berterusan agar semua pihak sedar hakikat yang berlaku sekarang. Penderitaan mereka sudah ratusan tahun tetapi hanya baru-baru ini mendapat perhatian masyarakat.

“Dengan adanya penganjuran majlis seperti ini, kita akan dapat suara yang kuat untuk mendesak pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar mereka ‘buka mata’ terhadap isu ini,” kata Abby.

Bagaikan satu rahmat kerana sebaik persembahan Najwa Latiff berakhir menjelang Maghrib, hujan turun dengan agak lebat. Bagaimanapun ia semakin reda menjelang persembahan segmen kedua pada jam 8 malam sekali gus membolehkan acara berjalan lancar.

Segmen yang diacarakan Saiful Nizam Ismail dan Norzizi Zulkifli ini menampilkan lebih ramai nama besar dalam bidang puisi dan artis tanah air iaitu kumpulan Raihan, Syamel dan Erni Zakri, Aizat Amdan, Erra Fazira, Khir Rahman, Ellie Suriati, Izreen Azminda, Rabbani, Awi Rafael, Nora Ariffin, Tajul Arif, Wilma Mohamad, Sahara Yaacob dan Profesor Datuk Rahman Shaari.

Turut serta, Datuk Jamal Abdillah, Azharina, Julfekar, Toki, Janna Nick, Datuk Seri Shah Rezza, Izzue Islam, Zarul Umbrella, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Zainal Rashid Ahmad, Datuk Freddie Fernandez, Profesor Dr Lim Swee Ting, Nabil Ahmad, Zaiton Sameon, Aiman Tino, Datuk Zurina Hassan, Amy Search dan Tasha Shila.

Tidak ketinggalan mendeklamasi puisi ialah Presiden WHAM sendiri Tengku Khalidah Tengku Bidin serta tetamu kenamaan iaitu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Ada juga artis yang tidak dapat turut serta menyatakan sokongan dengan mendeklamasi puisi menerusi rakaman video seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Rita Rudaini dan Alyah.

Doa Untukmu Rohingya mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Istana Budaya, Platinum Apple Communications, Pertubuhan Ikatan Usahawan Melayu Malaysia (PERIUM), Food Truck Entrepreneurs Association, Dualaris Sdn Bhd dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 11:38 AM