WHAM kumpul 1,000 penggiat seni anjur program amal.
WHAM kumpul 1,000 penggiat seni anjur program amal.
Najiy Jefri

Rakyat Malaysia masih meletakkan harapan agar krisis yang dihadapi etnik Rohingya di Myanmar termasuk penindasan terhadap masyarakat Islam di negara itu segera dihentikan.

Tidak cukup dengan penindasan, mereka juga dibunuh dengan kejam, diseksa dan dirogol oleh pihak tidak berperikemanusiaan sehingga menimbulkan polemik kepada masyarakat seluruh dunia.

Dalam kesedihan mengenangkan nasib yang menimpa, apa yang hanya mampu dititipkan ialah doa dan harapan.

Buat julung kalinya, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bakal mencatat sejarah de­ngan menghimpunkan 1,000 penggiat seni tanah air termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi bagi menzahirkan rasa prihatin.

Atas semangat kebersamaan itu, WHAM dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan acara luahan hati melalui puisi, lagu puisi, nasyid serta lagu kemanusiaan, Doa Untukmu Rohingya di Laman Santai, Istana Budaya di sini pada 1 Januari 2017.

WHAM memilih hari pertama 2017 untuk menyemarakkan tahun baru dengan menyuntik rasa prihatin terhadap nasib saudara Islam di Myanmar.

Acara selama sepuluh jam tanpa henti bermula 2 petang hingga 12 tengah malam itu bakal menampilkan Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Johan As’ari, Zarul Umbrella dan Azharina untuk sama-sama meluah­kan rasa prihatin masing-masing.

Pelakon Tasha Shilla, Mia Ahmad, Zaiton Sameon, Aizat Amdan, pengacara Nabil Ahmad, Saiful Nizam, Raja Azmi, penyanyi lagu Selamat Malam Rohingya iaitu Syed Amran Al-Yahya dan kumpulan Sahabat serta beberapa kumpulan busker lain juga sudah menyatakan persetujuan.

Ia turut memembabitkan pelajar institusi pengajian tinggi, ahli politik tanpa mengira fahaman, VVIP serta tokoh korporat.

“Program bersifat kemasyarakatan ini adalah himpunan rasa seniman tanah air yang turut terkesan melihat apa yang berlaku di Myanmar.

“Dalam kemelut yang belum berakhir ini, umat Islam Rohingya dibunuh dengan kejam, dirogol, dikelar dan dibiarkan kelaparan. Mereka turut berduka dan menangisi nasib yang menimpa saudara seagama.

“Justeru, WHAM mahu menggabungkan suara-suara hati itu untuk diluahkan dengan satu suara iaitu Doa Buatmu Rohingya. Kami akan menghimpunkan 1,000 seniman dalam acara ini,” kata Presiden WHAM, Teng­ku Khalidah Tengku Bidin.

Doa Buatmu Rohingya adalah acara amal dan bertujuan mengumpul dana daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada tabung yang diwujudkan syarikat media iaitu Tabung Rohingya Utusan dan Tabung Rohingya Media Prima.

WHAM juga memberi peluang kepada sekumpulan pelukis tanah air untuk sama-sama terbabit dengan mengadakan pameran lukisan amal Doa Untukmu Rohingya dan sebahagian jualan akan diserahkan ke tabung amal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:01 AM