Mangsa yang cedera dirawat di hospital Mrauk-U pada malam hari kejadian. - Foto The Irrawaddy
Mangsa yang cedera dirawat di hospital Mrauk-U pada malam hari kejadian. - Foto The Irrawaddy
Agensi

SEMBILAN etnik Buddha Rakhine mati manakala 12 lagi cedera selepas polis Myanmar melepaskan tembakan apabila orang ramai cuba merampas bangunan kerajaan di Mrauk U, Rakhine.

Menurut Reuters, kejadian berlaku selepas kira-kira 5,000 penganut Buddha berkumpul untuk meraikan kerajaan kuno Arakan, bertukar ganas.

Tidak dapat dipastikan kerana perhimpunan itu bertukar menjadi ganas.

Namun, menurut laporan Portal berita Myanmar, The Irrawaddy, orang ramai berkumpul bagi membantah arahan kerajaan mengharamkan sambutan ulang tahun ke-233 berakhirnya kerajaan Arakan.

Sambutan itu biasanya diadakan pada 15 dan 16 Disember, termasuk pertandingan gusti dan pembacaan puisi.

The Irrawaddy, melaporkan sembilan terbunuh dalam kejadian itu.

Menurut Reuters, Setiausaha kerajaan negeri Rakhine, Tin Maung Swe, berkata perhimpunan berlangsung di bandar Mrauk U kelmarin, sempena berakhirnya kerajaan Arakan lebih 200 tahun lalu.

Menurut Maung Swe, kira-kira 4,000 penduduk beragama Buddha berkumpul di sebuah bangunan kerajaan selepas upacara tahunan itu.

Bagaimanapun, penganjur tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan perhimpunan terbabit.

“Polis pada mulanya menggunakan peluru getah tetapi orang ramai enggan beredar menyebabkan mereka melepaskan tembakan.

“Kejadian berlaku apabila beberapa orang cuba merampas pistol daripada polis,” katanya.

Mrauk U terletak beberapa kilometer dari pusat keganasan terhadap etnik Rohingya dan kejadian kelmarin, berlaku pada hari sama dengan hari menandatangani perjanjian antara Myanmar dan Bangladesh mengenai kepulangan 655,000 pelarian etnik Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:42 PM