IZZUE Islam (tiga dari kiri) dan Aiman Tino beramah mesra dengan pengunjung Bazarena, Stadium Shah Alam sempena promosi wajah baharu Harian Metro sambil diperhatikan Tuan Asri (kanan) dan Pengarang Eksekutif (Komersial) Harian Metro, Husain Jahit (dua dari kanan). FOTO Nurul Syazana Rose Razman
IZZUE Islam (tiga dari kiri) dan Aiman Tino beramah mesra dengan pengunjung Bazarena, Stadium Shah Alam sempena promosi wajah baharu Harian Metro sambil diperhatikan Tuan Asri (kanan) dan Pengarang Eksekutif (Komersial) Harian Metro, Husain Jahit (dua dari kanan). FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


DUA artis popular Izzue Islam dan Aiman Tino ‘menawan’ serta mengelilingi Bazarena, Stadium Shah Alam, hari ini sempena aktiviti promosi wajah baharu Harian Metro.

Kehadiran Izzue dan Aiman yang tiba seawal jam 8 pagi menarik perhatian pengunjung bazar berkenaan apabila berjaya menjual naskhah itu dengan pantas.

Izzue ketika ditemui berkata, dia begitu teruja untuk turut serta dalam program itu kerana dapat meningkatkan kesedaran mengenai amalan membaca kepada masyarakat.

“Saya seronok dan teruja apabila dapat bersama dengan keluarga Harian Metro menjual surat khabar pagi ini.

“Satu pengalaman yang cukup manis dan berharga. Kami ‘tawaf’ satu bazar untuk menjual surat khabar ini selain beramah mesra dengan pengunjung yang datang.

“Saya berharap aktiviti sebegini diadakan selalu kerana dapat memupuk masyarakat dan meningkatkan kesedaran mengenai amalan membaca,” katanya.

Sementara itu, Aiman memberitahu menjual surat khabar adalah pengalaman pertamanya namun berasa seronok apabila pengunjung yang hadir begitu ‘sporting’.

“Mula-mula ingatkan susah tapi apabila sudah dapat rentak semuanya jadi mudah. Tambahan pula, pengunjung yang hadir semuanya ‘sporting’ dan mesra.

“Banyak juga akhbar yang sempat saya dan Izzue jual. Aktiviti ini seharusnya diadakan selalu kerana dapat mengeratkan silaturahim semua pihak. Terima kasih kerana sudi mengundang saya,” katanya.

Selain Izzue dan Aiman, aktiviti itu turut disertai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein, pengurusan kanan The New Straits Times Press (M) Berhad dan kakitangan sokongan Harian Metro.

Sempena wajah baru itu, setiap pembelian akhbar diberikan produk sabun pencuci dan pelembut serta minuman botol Yeos secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 12:55 PM