BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan dakwaan kononnya kerajaan menyediakan insentif RM2,500 kepada warga emas, sekali gus menggesa ahli mengeluarkan wang itu daripada akaun KWSP sebelum 31 Disember ini, adalah palsu.

Menurut KWSP, insentif yang didakwa khusus untuk warga emas berusia 55 tahun ke atas itu disebarkan melalui mesej audio WhatsApp.

"KWSP ingin menyatakan bahawa maklumat ini adalah palsu dan insentif yang disebut dalam mesej berkenaan tidak wujud," menurut KWSP dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut KWSP, pihaknya memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab itu yang dilihat sengaja mengelirukan orang ramai.

Sehubungan itu ahli KWSP dinasihat tidak terpengaruh dengan maklumat palsu berkenaan dan tidak menyebarkan mesej itu.

"Ahli digalak mengunjungi laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-89226000 bagi mendapatkan maklumat sahih," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 6:40 PM