BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal catatan di Facebook mendakwa ia menyediakan bantuan RM2,500 setiap enam bulan.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menggesa anggotanya serta orang ramai mengelak daripada menyebarkan kenyataan palsu berkenaan.

"KWSP mengambil kes terbabit secara serius dan bertindak mengeluarkan amaran.

"Ini termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan KWSP serta produk dan perkhidmatannya yang boleh mewujudkan kekeliruan atau kebimbangan dalam kalangan anggota," tambahnya.

Individu yang mencatat kenyataan palsu itu mendakwa anggota KWSP perlu mengisi borang untuk menuntut RM2,500 malah menyertakan pautan kepadanya.

Bagaimanapun, pautan itu adalah satu borang bagi tujuan menuntut faedah kematian.

"Bayaran faedah kematian sebanyak RM2,500 akan diberi kepada tanggungan anggota yang meninggal dunia apabila permohonan untuk mengeluarkannya dibuat," kata KWSP.

KWSP menggesa anggota menyemak dengannya mengenai sebarang isu berkaitan simpanan, produk dan perkhidmatan atau mereka juga boleh merujuk kepada laman web rasmi http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/web/kwsp/general/chain-emails untuk penjelasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 8:12 PM