BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP
Nur Lela Zulkipli


PENDAFTARAN bagi Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) boleh dibuat oleh mereka yang layak bermula hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai skim itu dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.

“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan.

“Caruman itu akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka," katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Pendaftaran i-Suri dibuka selepas pelancaran Insentif Suri Rumah oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018, minggu lalu.

Menurut Mohd Naim, individu yang layak mendaftar i-Suri akan menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain.

“I-Suri memberi manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60, bantuan hilang upaya dan bantuan kematian.

“Ini adalah sebagai tambahan kepada insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan,” katanya.

Berdasarkan statistik eKasih, seramai 221,890 suri rumah, balu (98,536) dan ibu tunggal (28,116) dari golongan miskin tegar layak menerima insentif kerajaan itu selepas mendaftar untuk i-Suri.

Bagi maklumat lanjut mengenai eKasih, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di talian 03-80008000.

Sementara bagi penjelasan mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau kunjungi mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 12:01 AM