KWSP
KWSP
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Hanya 30 peratus ahli rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang aktif setakat Mei 2023 mempunyai simpanan persaraan menepati penanda aras simpanan asas mengikut umur.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penanda aras yang digunakan pengurus dana persaraan itu bagi menentukan simpanan asas dicapai mengikut umur ialah RM240,000, yang menjadi paras sasaran apabila mencapai umur 55 tahun.

Katanya, jumlah paras simpanan asas itu diterjemahkan kepada RM1,000 sebulan dalam tempoh 20 tahun persaraan.

"Setakat Mei 2023, hanya 30 peratus daripada ahli rasmi kami yang aktif memenuhi simpanan asas mengikut umur, manakala hanya 18 peratus daripada jumlah ahli kami memenuhi ambang yang sama.

"Sesungguhnya, ketidakcukupan simpanan persaraan amat membimbangkan," katanya pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, ketidakcukupan simpanan persaraan didorong oleh pelbagai faktor termasuk struktur gaji yang rendah, ketidakselarasan antara umur pengeluaran penuh dan umur persaraan, caruman yang tidak konsisten dan kurang pekerjaan, serta kadar celik kewangan yang rendah.

Beliau berkata, bagi menghadapi cabaran secara berterusan, KWSP sedang melaksanakan langkah yang besar dengan fokus jelas untuk menjamin kesejahteraan persaraan masa depan rakyat Malaysia.

Katanya, memandangkan ahli KWSP kini mencecah 15.8 juta ahli, pengurus dana persaraan itu berusaha untuk melaksanakan strategi jangka panjang untuk mewujudkan impak positif dan memupuk kesejahteraan, terutamanya dalam kalangan warga emas.

"KWSP kini tertumpu kepada lanjutan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli.

"KWSP sudah mengerahkan unit mudah alih untuk mendekati tujuh juta orang dalam sektor tidak formal dan mereka yang bekerja sendiri yang berpotensi menjadi ahli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 12:02 PM