Inisiatif i-Sayang memberikan golongan suri rumah mendapat akses keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti.
Inisiatif i-Sayang memberikan golongan suri rumah mendapat akses keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan usahasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan i-Sayang yang membolehkan suami memindahkan dua peratus daripada caruman ke dalam akaun isteri untuk kesejahteraan masa depan mereka.

i-Sayang sebahagian daripada usaha berterusan KWSP memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan.

Inisiatif itu turut menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial yang formal menabung demi masa depan persaraan mereka.

Ia juga memberi mereka (isteri) peluang mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan berkualiti seperti dinikmati ahli KWSP.

Dianggarkan seramai 2.4 juta suri rumah di negara ini tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh.

Ia menyebabkan mereka tiada bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan.

Pelaksanaan inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasakan hak dan menjaga kebajikan wanita di negara ini.

Selain itu, ia juga menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia Madani yang berteraskan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli) atau di mana-mana cawangan seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my  atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 8:00 AM