Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Empat sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berlepas ke Syria, 9.15 pagi tadi bagi melaksanakan Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka berada di sana kira-kira 10 hari.

Pengarah Strategik dan Korporat MAPIM merangkap ketua misi, Sani Araby Al-Kahery berkata, misi kali ini memfokuskan kepada beberapa projek terdesak antaranya pembinaan 1,000 khemah pelarian memandangkan dianggarkan seramai 80,000 pelarian baharu susulan peperangan sebelum ini.

"Selain itu, tiga treler membawa bantuan makanan akan dihantar terus ke Syria selain ubatan, selimut untuk musim salji dan kemudahan ambulans.

"Kita juga menghantar bantuan sebanyak RM500,000 yang dikumpulkan dalam tempoh lima hari hasil sumbangan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka dijangka pulang ke tanah air pada 12 Januari manakala, kumpulan kedua membabitkan 10 sukarelawan MAPIM seterusnya berlepas pada 15 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 9:26 AM
SUKARELAWAN MAPIM berlepas ke Syria. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SUKARELAWAN MAPIM berlepas ke Syria. FOTO Mohd Fadli Hamzah