MAPIM akan teruskan misi kemanusiaan ke Syria. FOTO BERNAMA
MAPIM akan teruskan misi kemanusiaan ke Syria. FOTO BERNAMA
BERNAMA

MISI kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Syria akan diteruskan bulan hadapan dengan penyerahan bantuan dalam skala lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, pihaknya akan memasuki Idlib, Azar dan Hama di Syria untuk misi fasa kedua yang dijangka mengambil masa lebih seminggu.

“Antara bantuan akan diberi ialah bekalan makanan dan alat pemanas...kami juga akan dirikan khemah untuk rakyat Syria yang memerlukan tempat tinggal,” katanya hari ini.

Beliau berkata, dalam misi fasa satu selama seminggu di 11 khemah pelarian di Lubnan bulan ini, hampir 2,500 pelarian Syria di Aarsal, Qaraoun dan Tanayel di wilayah Beqaa menerima bantuan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia melalui MAPIM.

Beliau berkata, bantuan kemanusiaan ke Lubnan akan diteruskan kerana bantuan yang diterima pelarian di sana masih tidak mencukupi.

“Tarikh dan masa yang sesuai akan diumum selepas koordinasi bersama kerajaan Turki selesai.

“Namun, jika dana yang disumbangkan rakyat Malaysia melalui www.tabungsyria.com mencukupi, maka ia (dana) perlu dihantar ke Lubnan segera,” katanya.

Musim sejuk ekstrem yang melanda beberapa kawasan di Lubnan menyukarkan kegiatan harian pelarian di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 8:09 PM