Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyasarkan kutipan RM2 juta dapat dikumpulkan untuk Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria bagi membantu pelarian negara itu yang berdepan kesulitan susulan peperangan di Aleppo.

Pengarah Strategik dan Korporat MAPIM, Sani Araby Al-Kahery berkata, buat masa ini, hasil kutipan dana masih di bawah sasaran dan pihaknya berharap dapat mencapainya memandangkan keadaan di sana kritikal dengan kira-kira 80,000 pelarian baharu.

Menurutnya, pelbagai hebahan sudah dibuat menerusi media sosial Facebook (FB) dan Internet mengenai pengumpulan dana itu, malah MAPIM turut merayu rakyat Malaysia untuk membantu menjayakan misi berkenaan.

“Kami mengambil langkah menghantar terus sumbangan itu tanpa menunggu (mencapai sasaran) kerana sedia maklum, Syria sangat kritikal pada masa ini.

“Malah hari ini (semalam), kita bawa sumbangan RM500,000 daripada rakyat Malaysia dan ini berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima hari sahaja,” katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Sani merangkap ketua misi itu bersama tiga sukarelawan lain termasuk wakil media berlepas ke Syria jam 9.15 pagi bagi melaksanakan Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria.

Dalam pada itu, beliau berkata, sukarelawan berlepas semalam adalah kumpulan pertama daripada MAPIM dan bantuan tertumpu kepada pelaksanaan projek terdesak antaranya pembinaan 1,000 khemah pelarian dengan setiap satu mampu dihuni keluarga mempunyai hingga lapan ahli.

“Misi penting tergempar ini turut merangkumi tiga treler bantuan makanan dihantar memasuki Syria selain ubatan, satu trak selimut musim sejuk boleh dimanfaatkan seramai 3,000 pelarian dan ambulans yang diwakafkan oleh rakyat Malaysia.

“Kami berada di sana kira-kira 10 hari dan dijangka pulang ke tanah air 12 Januari depan manakala kumpulan sukarelawan kedua dijangka berlepas pada 15 Januari,” katanya.

Rakyat Malaysia yang mahu memberi sumbangan bagi Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria boleh dibuat melalui akaun Maybank 562834636987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana MAPIM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 8:07 AM
SANI (dua dari kiri) bersama Naib Timbalan Presiden MAPIM, Abdul Aziz Bakar (dua dari kanan) dan sukarelawan sebelum berlepas ke Syria di KLIA.
SANI (dua dari kiri) bersama Naib Timbalan Presiden MAPIM, Abdul Aziz Bakar (dua dari kanan) dan sukarelawan sebelum berlepas ke Syria di KLIA.