SANI Araby (tiga dari kanan) bersama pengurusan Turki Diyanet Vakfi selepas perbincangan di Ankara, Turki. FOTO Ihsan MAPIM
SANI Araby (tiga dari kanan) bersama pengurusan Turki Diyanet Vakfi selepas perbincangan di Ankara, Turki. FOTO Ihsan MAPIM
Yusmizal Dolah Aling


MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Agensi Wakaf Kerajaan Turki (TDV) akan membuka sebuah gudang bantuan dan pejabat lapangan untuk memudahkan misi kemanusiaan di kawasan sempadan Turki dan Syria.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, ia dijangka memulakan operasi Mei nanti dan berperanan sebagai pusat penyusunan kerja, media, latihan sukarelawan serta kajian dan penyelidikan kedua-dua negara.

Selain itu, ia juga berfungsi sebagai tempat penyimpanan bantuan.

Katanya, gudang yang diberi nama Pusat Koordinasi MAPIM Malaysia itu juga bakal menjadi hab barangan bantuan untuk misi berterusan berskala besar bermula tahun ini bagi membantu pelarian di lapan wilayah dalam Syria yang memerlukan bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

“Ketika ini, keadaan di sempadan begitu sibuk dengan kenderaan berat membawa masuk barangan untuk kita tempatkan di sini.

“Delegasi MAPIM diketuai saya dan Setiausaha Agung Zul Hanis Zainol berada di sini untuk menyelaras koordinasi bersama TDV serta rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara bagi memulakan misi untuk tahun 2019.

“MAPIM jangka akan menyalurkan 1,000 khemah, selimut (10,000) alat pemanas (5,000), kotak makanan (5,000) dan membina masing-masing dua masjid serta sekolah Malaysia di 26 titik salur bantuan yang dikenal pasti. Setakat ini, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sani Araby yang kini berada di Idlib, Syria berkata, semua bantuan adalah hasil kempen dibuat MAPIM menerusi media sosial dengan kerjasama media tempatan dan mendapat sokongan netizen yang prihatin dari pelbagai latar belakang dan agama.

Katanya, ia adalah lanjutan daripada kesinambungan kerjasama bersama TDV yang memasuki tahun ketujuh merangkumi pelbagai projek misi luar negara termasuk Rohingya, Korban, pendidikan dan penubuhan gudang itu akan melancarkan misi bantuan kepada penduduk serta pelarian Syria.

“Kita akan gerakkan aktivis kemanusiaan Malaysia untuk berada di sempadan ini secara berkala bagi tujuan latihan bersama agensi kerajaan Turki termasuk AFAD dan Kizilay.

“Gudang ini juga bakal digunakan NGO dari Pakistan dan Qatar. Ia amat bermakna untuk santuni jutaan saudara Syria yang menjadi pelarian akibat perang” katanya.

Justeru beliau mengalu-alukan sumbangan orang ramai menerusi akaun Tabung Kecemasan Syria 562834636987 (Dana MAPIM) atau layari www.tabungsyria.com.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut boleh hubungi hotline MAPIM MALAYSIA menerusi 1300-888-038.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 3:21 PM