Wee Kwang (kiri) dipenjara sehari dan didenda RM10,000 kerana merasuah polis. FOTO Hatim Ab Manan
Wee Kwang (kiri) dipenjara sehari dan didenda RM10,000 kerana merasuah polis. FOTO Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Buruh dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah merasuah pegawai polis, Ogos lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Tan Wee Kwang, 34.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memberi satu suapan wang tunai RM370 kepada seorang Inspektor Polis yang bertugas di Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Perbuatan itu adalah dorongan kepada pegawai berkenaan agar tidak membuat sesuatu atau tidak mengambil tindakan keatas dirinya kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah premis di Taman Semabok Perdana, di sini, pada jam 7.15 malam, pada 23 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM Ong Cheng Hian memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dan penjara minuman kerana perlu menanggung seorang adik yang sakit.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari dan didenda RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 12:32 PM