TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Penganggur dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM450 kepada seorang anggota polis, bulan lalu.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Keng Sa, 61, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ng didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada Sarjan Ismail Laile Awang yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebagai dorongan supaya anggota polis itu tidak mengambil tindakan ke atasnya yang disyaki memiliki dadah heroin dan menjalankan ujian saringan air kencing.

Bagi perbuatan yang dilakukan tertuduh di pejabat BSJN, IPD Batu Pahat pada 9.45 pagi, 5 September lalu itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ridzuan Malik, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan perbuatan dilakukan tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan mengambil kira faktor usianya yang sudah tua.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 serta memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 11:54 AM