FOTO Rasul Azli Samad
FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seorang penganggur didenda RM10,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, pagi tadi, atas kesalahan memberi rasuah kepada seorang pegawai polis, Ogos lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairulnizam Abdul Hamid, 44, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memberi satu suapan berjumlah RM500 kepada seorang pegawai polis berpangkat Inspektor sebagai dorongan untuk tidak membuat sesuatu dengan tidak mengambil tindakan kerana bermain judi dalam talian di sebuah premis Taman Semabok Perdana, pada jam 6.45 petang, pada 23 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ahmad Faizul Abd Rashid yang mewakili pihak pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman denda dikurangkan dengan alasan dia sudah dberhentikan kerja selain mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari serta didenda RM10,000 dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 12:11 PM