Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang buruh mengaku bersalah atas tuduhan merasuah polis bagi mengelak ditahan kerana ditangkap berjudi, Ogos lalu.

Tertuduh Tan Wee Kuang, 34, beralamat di Selangor, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi tadi selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hokkien.

Bagaimanapun, Mohd Nasir menangguhkan keputusan hukuman ke atas tertuduh kepada 21 Disember depan, bagi membolehkan tertuduh mengumpul wang bagi membayar denda bagi kesalahan yang dilakukan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM370 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Polis Inspektor Mudzaffar Shah Zulkefli yang bertugas di bahagian D7 Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, bagi memastikan polis tidak mengambil tindakan terhadapnya mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJTA) 1953.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah premis dua tingkat di Taman Semabok Perdana, di sini, jam kira-kira 7.15 petang pada 23 Ogos lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang memperuntuk hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana mengikut nilai lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Ong Cheng Hian mencadangkan tertuduh dibenar jamin RM2,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan rendah kerana perlu mencari wang bagi membayar denda selain menanggung kedua ibu bapa.

Selepas mendengar rayuan, Mohd Nasir membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dan menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan hukuman.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:55 PM
Tan Wee Kuang (kanan) mengaku bersalah atas tuduhan merasuah polis di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Tan Wee Kuang (kanan) mengaku bersalah atas tuduhan merasuah polis di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER