Middlesbrough: Adam Lallana (gambar) menjaringkan dua gol bagi membolehkan Liverpool kembali ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-0 ke atas Middlesbrough awal pagi semalam.

Liverpool yang tewas kepada Bournemouth dan seri dengan West Ham United dalam dua perlawanan terakhir mendahului perlawanan apabila sepakan lencong hebat Nathaniel Clyne disambut tandukan padu Lallana pada minit ke-29.

Mereka menggandakan kelebihan pada minit ke-60 apabila Divock Origi menyudahkan hantaran pantas untuk gol perlawanan kelima berturut-turut dalam semua kejohanan manakala Lallana memastikan mata penuh menerusi jaringan jarak dekat.

Kemenangan itu meletakkan Liverpool di tangga kedua dengan 34 mata, mengatasi Arsenal menerusi perbezaan jaringan tetapi masih ketinggalan enam mata berbanding pendahulu Chelsea.

Pengurus Liverpool Juergen Klopp menggugurkan Loris Karius selepas penjaga gol Jerman itu melakukan kesilapan besar ke atas West Ham dan Bournemouth, untuk kembali meletakkan Simon Mignolet dalam kesebelasan utama.

“Dalam hidup tidak semuanya indah tetapi ini adalah anak buah saya dan bagi saya adalah penting untuk mendorong dan melindungi mereka, kadang-kala saya perlu membuat keputusan yang tidak saya gemari,” kata Klopp.

“Saya sedar betapa kuatnya Loris tetapi dia tidak dapat menunjukkannya dalam beberapa perlawanan terakhir. Menghukumnya ketika ini tidak masuk akal.

“Simon Mignolet di bangku simpanan dan kami perlu bertanding. Semua ini adalah mengenai Liverpool. Pemain mempunyai karakter yang bagus. Karius masih penjaga gol yang hebat.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 7:24 AM