LALLANA (kanan).
LALLANA (kanan).
AFP

Liverpool: Wajah setiap pemain Liverpool tetap menunjukkan riak keyakinan walaupun dikecewakan Manchester United apabila sekadar seri tanpa jaringan pada perlawanan di tempat sendiri sebelum ini.

Kelibat Georginio Wijnaldum amat dirindui ketika menentang United apatah lagi dia tidak dapat diturunkan gara-gara kecederaan pinggul yang dialaminya ketika mewakili Belanda pada kempen kelayakan Piala Dunia. Pemain tengah itu bagaimanapun sudah turun menjalani latihan dan sedia untuk bermain menentang West Brom malam ini.

Seorang lagi pemain tengah Adam Lallana, sudah pulih sepenuhnya daripada masalah pangkal paha dan sepatutnya boleh bermain minggu ini.

Liverpool menang semua lima perlawanan dalam semua pertandingan sebelum seri menentang skuad bimbingan Jose Mourinho dan bakal melangkah ke perlawanan malam ini di kedudukan keempat Liga Perdana, dua mata di belakang pendahulu Manchester City.

Kehadiran semula Wijnaldum dan Lallana pastinya menambah sengat Liverpool untuk perlawanan malam ini.

“Dia pemain yang bagus dan sangat penting buat kami,” kata pengurus Liverpool Juergen Klopp merujuk kepada Lallana. “Sejak saya di sini, dia sentiasa bermain di tahap terbaiknya.

“Ketika dia masih muda, dia sudah pun bergelar kapten Southampton dan justeru, ia sudah cukup untuk menceritakan kehebatannya. Dia pemain yang hebat dan pada usia sekarang, pengalamannya pasti membantu anda. Itulah sebabnya mengapa dia cukup bernilai di sini. Dia seorang pemain Liverpool sejati dan dia juga sayangkan kelab kami.

“Pasti Southampton merindui kelibatnya. Ramai pemain meninggalkan Southampton sejak kebelakangan ini tetapi kehilangan Adam membuatkan mereka paling kecewa.

“Itu menceritakan kualitinya dan kesan yang mampu dibawanya kepada mana-mana pasukan. Dia kini bersama kami dan saya gembira dengannya.”

Pengendali Jerman itu turut gembira dengan penjaga golnya walaupun Loris Karius kerap menerima kritikan sejak menggantikan Simon Mignolet - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:10 AM