Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, saya semakin sihat, syukur berkat doa kawan-kawan," kata Azmil Mustapha, 63.

Perkembangan yang diberitahu ketika dihubungi, hari ini, sekaligus menafikan gambar dia mengengsot ke surau yang viral di media sosial.

Gambar yang diviralkan semula itu dipercayai dirakam awal tahun lalu ketika dia mengalami masalah kesihatan berkaitan jantung.

"Walaupun semakin sihat tetapi saya masih menerima rawatan susulan dua bulan sekali, di Hospital Serdang.

“Saya harap boleh mula semula (berceramah) kerana dah cuti lama sejak hujung tahun lalu," katanya.

Azmil pernah dirawat di Hospital Putrajaya awal tahun lalu kerana masalah jantung lemah dan berehat lebih enam bulan.

"Sekarang ini saya ada terima jemputan untuk berceramah dalam sekali seminggu dan semalam pun saya ada berceramah mengenai Maulidur Rasul.

"Saya boleh terima jemputan di kawasan terdekat seperti Kuala Lumpur saja dan berat hati untuk terima jemputan sekiranya jauh," katanya yang menetap di Shah Alam.

Azmil yang popular menerusi filem Ali Setan pernah jatuh sakit selepas berceramah di Pulau Pinang dan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 10:28 PM