HERRY Dass meraung sebaik keluar dari mahkamah. FOTO L.Manimaran
HERRY Dass meraung sebaik keluar dari mahkamah. FOTO L.Manimaran
Ahmad Salim Bachok

Kekecohan yang berlaku di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu lalu menarik perhatian saya. Seorang bapa, V Maria Dass, bertindak memohon kepada hakim untuk menarik balik ikat jamin berjumlah RM3,000 terhadap anaknya yang dituduh melakukan rompakan secara berkumpulan pada 8 Jun lalu.

Alasan Maria Dass bertindak demikian adalah kerana beliau sudah serik dengan perlakuan jenayah yang pernah dilakukan oleh anaknya itu. Sebelum ini, anaknya itu sudah empat kali melakukan jenayah lain dan si bapa sudah menghabiskan lebih RM20,000 untuk membayar denda dan ikat jamin si anak.

“Saya terpaksa pinjam orang untuk ikat jamin dan denda anak...” kata Maria Dass yang bekerja di sebuah pasar borong di Ipoh. Kelmarin, kesabarannya sudah tidak mampu ditanggung lagi walaupun anaknya meraung di kandang tertuduh, malah hingga sujud memohon ampun kepada bapanya agar tidak menarik balik ikat jaminnya itu.

Dalam hal ini, saya angkat tabik kedua-dua belah tangan terhadap Maria Dass atas sikap tegas dan kesanggupannya memberi pengajaran pahit kepada anaknya itu. Beliau sendiri pastinya berasa sedih dan tertekan, selain malu.

Jika berhadapan dengan situasi sama seperti yang dialami oleh pekerja pasar ini, saya pasti tidak ramai antara kita yang tergamak atau sanggup bertindak sepertinya. Siapalah yang tidak sayangkan anak...

Sesungguhnya mendidik anak bukanlah perkara mudah. Ia adalah tugas dan tanggungjawab hakiki ibu bapa. Di dalam masyarakat kita, biasanya apabila anak-anak tidak mendengar kata, degil atau nakal, kita sebagai ibu bapa akan bertindak sama ada menegur, memarahi atau menghukum si kecil, bergantung kepada tahap kesalahan atau kenakalan yang dilakukan.

Berdasarkan pemerhatian saya, cara mendidik anak kini berbeza berbanding pada masa dulu. Contohnya, saya sendiri mempunyai bapa yang begitu garang dan tegas. Kesalahan atau kenakalan yang kami adik-beradik lakukan hanya akan menerima habuan rotan atau tali pinggang yang sentiasa tergantung di alang rumah. Tiada tolak ansur atau tawar-menawar.

Kesalahan paling besar dan bakal menerima libasan tali pinggang paling banyak adalah mencuri dan berbohong. Justeru itu saya terbawa-bawa hingga sekarang bahawa dua ‘jenayah juvana’ ini amat pantang jika dilakukan oleh anak-anak saya.

Bagi saya, ramai ibu bapa sekarang terlalu memanjakan anak-anak mereka secara berlebihan. Ada yang sayang tidak bertempat hingga menyebabkan si anak bertindak di luar batasan. Contohnya, lihat saja apa yang dialami oleh Maria Dass tadi yang terpaksa menghadapi perbuatan jenayah berulang-ulang anaknya.

Kita juga sering terbaca berita mengenai ibu bapa yang menyerang guru di sekolah gara-gara anaknya dirotan kerana berkelahi di dalam darjah atau tidak menyiapkan kerja sekolah. Malah ada ibu bapa yang marah-marah dan membuat bantahan kepada pengetua atau guru besar hanya kerana anaknya diminta guru mengutip sampah atau memadam tulisan di papan hitam.

Pada pendapat ibu bapa ini, anak-anak mereka dihantar ke sekolah hanya untuk belajar, bukan menjadi kuli atau melakukan kerja tukang kebun! Mereka juga bagaikan tidak membenarkan langsung guru mencuit tubuh anak-anak, apatah lagi mencubit atau merotan mereka.

Kesan birat, lebam atau bintat di tubuh anak-anak mereka gara-gara hukuman daripada guru boleh diibaratkan sebagai isyarat perang oleh ibu bapa terhadap institusi sekolah, terutama guru. Pernah juga berlaku anak-anak ini yang tahu akan sentiasa dilindungi oleh ibu bapa mereka, sanggup berbohong kepada ibu bapa demi melindungi kenakalan mereka ketika di sekolah.

Pada zaman saya bersekolah rendah dulu, kami sanggup bergaduh sesama sendiri berebut untuk memadam papan hitam. Ia bagaikan tugas ‘tidak rasmi’ yang amat membanggakan dan menyeronokkan. Kami juga bergilir-gilir mencuci tandas dan longkang di sekitar bangunan sekolah dengan rasa penuh tanggungjawab dan bersemangat, walaupun pada ketika itu ada tukang kebun yang bertugas.

Semangat seronok menjadikan sekolah kita bersih dan cantik itu menjadikan saya sentiasa sayangkan sekolah dan guru-guru yang pernah mendidik dulu. Kini semangat itu sudah tiada, sebahagian besarnya gara-gara sikap ibu bapa hari ini yang terlalu sayangkan anak, tetapi sayang yang tidak bertempat.

Kerana itulah, saya kira, tindakan Maria Dass di Mahkamah Sesyen Ipoh dua hari lalu itu sangat relevan untuk dijadikan teladan atau pengajaran kepada kita dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi insan berjaya, bermaruah dan mampu membawa negara serta bangsa kita ke tahap yang lebih tinggi, lebih dihormati dan maju dalam segala bidang.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:57 AM