ANAK-anak Li Jin dibawa bercuti ke Sri Lanka untuk melihat pekerja di ladang teh dan mengenali kesusahan orang di negara membangun.
ANAK-anak Li Jin dibawa bercuti ke Sri Lanka untuk melihat pekerja di ladang teh dan mengenali kesusahan orang di negara membangun.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Kesedaran mendidik anak supaya mereka bijak mengenai kewangan sememangnya menjadi keutamaan sesetengah ibu bapa yang memahami betapa pentingnya pengurusan wang yang baik, demi masa depan anak masing-masing.

Bijak mengatur kewangan sememangnya penting kerana kita perlu menguruskan wang sepanjang hidup. Apabila ia tidak diurus dengan baik, kehidupan peribadi menjadi huru-hara, sekali gus mengganggu emosi hingga menjejaskan prestasi kerja.

Pengetahuan mengenai wang dapat memastikan seseorang sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kurang risiko ditipu mereka yang ingin mengambil kesempatan misalnya dalam hal pemilihan dana pelaburan yang tepat.

Pendapat berkenaan disokong ibu kepada empat anak, Chan Li Jin, 45, yang mula mendidik anak-anaknya bijak mengendalikan urusan kewangan sejak usia mereka masih kecil.

Baginya, waktu terbaik untuk memberi pengajaran mengenai kewangan pada anak-anak ketika mereka baru melangkah ke darjah satu kerana pada waktu berkenaan mereka sudah pandai membuat perbandingan dengan rakan kelas.

Katanya, sejak anaknya masih kecil, mereka sudah dididik supaya tidak membazir wang terutama apabila mereka mengadu wang saku mereka sedikit berbanding kawan di sekolah.

“Saya beritahu mereka tidak perlu bawa duit dalam jumlah yang banyak kerana sudah kenyang makan dan minum di rumah sebelum ke sekolah apatah lagi semua barangan sekolah seperti alat tulis semua sudah disediakan dengan lengkap.

“Saya selalu pesan supaya jangan habiskan wang saku yang diberi, tetapi cuba menabung untuk

penggunaan ketika waktu kecemasan misalnya untuk membeli buku atau mengikuti rombongan sekolah,” katanya.

Upah

Lebih menarik, Li Jin tidak sewenangnya memberi wang apabila dipinta anak, tetapi anak perlu faham mereka perlu berusaha untuk mendapatkan wang lebih berbanding duit saku yang sudah diberikan.

Apabila anak meminta wang lebih, dia menyarankan mereka membantunya melakukan kerja rumah seperti membasuh kereta, membersihkan peti sejuk atau berkebun untuk mendapatkan upah.

Bertugas sebagai penulis bebas, ibu empat anak itu berkata, sebaik anaknya mencapai usia remaja, dia membawa sekali anak-anak untuk bertindak sebagai kakitangan sambilan ketika sesuatu acara untuk mendidik mereka betapa susahnya mendapatkan wang.

“Mereka seronok mendapat upah RM50 sehari apabila ditugaskan sebagai kakitangan sambilan di sesebuah acara,”katanya.

Bagaimanapun, Li Jin akui bukan mudah untuk mendidik anak-anak supaya mengamalkan tabiat berjimat cermat apatah lagi dikelilingi penduduk di bandar yang rata-rata gemar berbelanja tanpa berfikir panjang mengenai kepayahan ibu bapa mencari wang.

Kadangkala dia berdepan cabaran mendidik apabila anak-anak mengatakannya kedekut dan tidak seperti ibu lain kerana rakan mereka mendapat telefon bimbit mahal dan baju baru, tetapi dirinya sendiri terlalu berhati-hati ketika membeli-belah.

Bagaimanapun, sebaik dua anaknya, Muadzin Mohd Kamal, 20, dan Munawwirah, 18, sudah mula bekerja sampingan, baru mereka faham mengapa Li Jin begitu menjaga soal kewangan kerana bukan mudah untuk bekerja selama sebulan demi mendapat gaji.

“Saya menerapkan tabiat mencari dan menyimpan wang sendiri dalam diri anak-anak. Sejak kecil, mereka sudah sibuk mencari wang sendiri kerana saya tidak bagi duit lebih jadi mereka perlu mencari wang daripada sumber lain.

“Muadzin dan Munawwirah mula bekerja sampingan sejak usia 16 dan 17 tahun sehingga kadang–kala saya rasa kasihan melihat mereka mencari kerja melalui rakan-rakan.

“Namun pada pendapat saya, elok juga mereka bekerja di luar sambil mencari pengalaman. Baru mereka tahu realiti dunia luar,” katanya yang turut mempunyai dua lagi anak iaitu Mustaqim, 15, dan Mikail, 10.

Emosi

Katanya, dalam usaha mendidik anak-anak mengenai kewangan dan berharap mereka memahaminya, dia menjelaskan betapa susahnya dia sebagai ibu terpaksa keluar mencari wang bagi menampung keluarga sehingga lewat malam.

Biarpun letih dan mengantuk sehingga lewat malam, dia tetap menghadap komputer untuk menyiapkan tugasan.

Penting baginya memujuk emosi anak dan menceritakan keletihan bekerja, lambat-laun anak-anak akan memahami apabila melihat kesibukan ibu bekerja mencari rezeki.

“Alhamdulillah saya lihat anak-anak semua tidak membazir, tetapi kadang–kala saya tengok kasut dan baju sekolah mereka sampai koyak, tetapi tidak meminta pun untuk digantikan.

“Saya pula rasa kasihan melihat mereka. Anak perempuan saya seorang yang berjimat cermat seperti saya, sampai kain baju pun jarang beli, hanya berkongsi dengan saya.

“Sekarang dia bekerja di sebuah kedai buku dan gajinya diberikan sebahagian kepada saya dan bapanya, manakala selebihnya dia menabung untuk perbelanjaan di institusi pengajian tinggi nanti,” katanya.

Menurut Li Jin, bagi ibu bapa yang mahu mendidik anak-anak supaya lebih menghargai wang, mereka dinasihatkan tidak memberi wang belanja yang banyak kepada anak-anak dan mengajar mereka mencari wang sendiri.

Anak-anak sebenarnya lebih gemar sekiranya ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama menjalankan aktiviti yang seronok dan percuma seperti memancing, berjalan di taman bunga atau mandi sungai.

“Tidak perlu membeli-belah atau asyik membeli hadiah mahal. Macam anak-anak saya, jarang sekali meminta belikan mainan, hanya anak bongsu saja dimanjakan bapanya.

“Bagi saya, ilmu kewangan amat penting diajar ketika usia kecil. Semakin dewasa, agak sukar untuk menjadikannya sebagai tabiat apatah lagi pada zaman ini terlalu banyak godaan barangan yang hendak dibeli. Bagi saya, pengalaman jauh lebih penting berbanding benda, jadi duit perlu dijimatkan untuk melancong atau mencuba perkara baru berbanding membeli barang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 1:05 PM