Suliati Asri

Kementerian Pendidikan (KPM) kini tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka sama ada di dalam atau luar bangunan kawasan sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah pada ketika ini adalah mengikut pilihan masing-masing susulan pengumuman ketetapan yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

"Ingin saya jelaskan bahawa pemakaian penutup muka di dalam atau luar bangunan di kawasan sekolah adalah mengikut pilihan masing-masing. Tidak diwajibkan," katanya.

Pengumuman itu pastinya mengundang pelbagai reaksi dari masyarakat terutama ibu bapa. Maklum saja walaupun sudah berada di fasa endemik, namun masih ada kes jangkitan Covid-19 selain ada penyakit berjangkit lain.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane dan YDP SMK (P) Bandaraya, Faizal Mohammad Arshad berkata, pihaknya melihat keputusan itu selaras dengan fasa endemik dan sudah dipertimbangkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, menurutnya ia terpulang kepada murid dan ibu bapa perlu prihatin serta mendidik anak supaya sentiasa menjaga kesihatan kendiri.

"Sebelum keputusan itu diambil, saya pasti KPM sudah meneliti sebaiknya dan sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dititikberatkan.

"Saya yakin dan berharap dengan SOP yang dilaksanakan KPM seperti penjarakan dalam kelas, jadual rehat berkala dan sistematik serta dipantau, guru yang peka terhadap kesihatan murid, ia boleh mengelak dari penyakt itu berjangkit dan SOP ini dikekalkan.

"Dengan itu juga murid akan berasa selesa, terjamin dan selamat jika mereka tidak memakai pelitup muka.

"Saya juga dalam aspek ini bersetuju, tetapi pemantauan dan kepekaan perlu diterapkan kepada anak-anak supaya keselamatan mereka terjamin dan terhindar dari penyakit berjangkit dan Covid-19," katanya.

PEMAKAIAN pelitup muka akan mengganggu proses pembelajaran terutama kepada pelajar sekolah rendah.  Gambar hiasan
PEMAKAIAN pelitup muka akan mengganggu proses pembelajaran terutama kepada pelajar sekolah rendah. Gambar hiasan

Mengulas lanjut, Faizal berkata, negara berada di fasa endemik, tetapi ibu bapa perlu prihatin mendidik anak-anak mereka kerana sekarang ini kita ada macam-macam penyakit.

"Kita ada pelbagai penyakit berjangkit dan antaranya kini Influenza, selain Covid-19. Jadi, kita perlu pastikan anak sentiasa bawa pensanitasi tangan dan pelitup muka sebagai perlindungan tambahan.

"Bukan kita membiarkan mereka sepenuhnya tidak pakai pelitup muka, tetapi ia juga bergantung kepada keadaan," katanya.

Ditanya mengenai penularan pandemik Covid-19, kata Faizal, negara masih mempunyai kes yang tinggi, namun kita perlu faham, kita bukan seperti di fasa pertama.

Katanya, dulu kita tidak ada vaksin, tetapi kini rata-rata masyarakat negara ini sudah mengambil vaksin.

"Di sini, kita dapat melihat jika anak-anak dijangkiti Covid-19, mereka akan dapat impak minimum.

"Namun kita perlu memastikan anak-anak dan keluarga mengambil vaksin selain perlu mengingatkan mereka untuk sentiasa menjaga keselamatan kendiri di mana saja mereka berada bukan hanya ketika berada di sekolah.

"Apa guna pakai pelitup muka di sekolah, tapi ketika membeli-belah dengan keluarga, pelitup muka diabaikan. Tepuk dada tanya selera," katanya.

Sebagai YDP PIBG, dia melihat kebanyakan ibu bapa faham dan jelas mengenai SOP ketat dilaksanakan KPM.

"Cuma saya menyarankan di sini supaya ibu bapa memastikan dan mengingatkan anak menjaga keselamatan kendiri.

"Ibu bapa perlu peka terhadap simptom penyakit berjangkit terutama demam, selesema, batuk, sakit tekak dan sebagainya supaya tindakan serta rawatan boleh dilakukan segera.

PELAJAR perlu bijak dan peka terhadap keselamatan kendiri selepas pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan. Gambar hiasan
PELAJAR perlu bijak dan peka terhadap keselamatan kendiri selepas pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan. Gambar hiasan

"Saya menyambut baik pengumuman KPM itu, bagaimanapun ibu bapa perlu memastikan keselamatan anak-anak kita terjaga dan menggalakkan mereka menggunakan pelitup muka.

"Saya berpendapat ia terpulang kepada murid selepas pengumuman dari KPM. Tetapi, sebagai ibu bapa, saya akan pastikan dan menggalakkan anak memakai pelitup muka," katanya.

Bagi Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Nor Faiza Mohd Tohit, selepas dua tahun, pemahaman masyarakat terhadap Covid-19 semakin baik berbanding pada awal kemunculannya dahulu.

Bukan itu saja katanya, guru pelajar dan warga sekolah juga berpeluang melengkapkan vaksin mereka.

"Kita sedia maklum komplikasi Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak yang sudah di vaksin adalah rendah dan kes yang mengalami komplikasi pula kebanyakannya mempunyai penyakit lain.

"Di Amerika Syarikat misalnya, apabila sekolah sudah tidak mewajibkan pemakaian penutup muka, tidak terdapat 'outbreak' atau penyebaran wabak secara besar-besaran," katanya.

Dr Nor Faiza berkata, pemakaian pelitup muka di sekolah juga bukan suatu polisi kekal.

"Covid-19 juga kini di fasa endemik. Jadi, pemakaian pelitup muka di sekolah turut perlu dinilai semula.

"Sebarang keputusan yang diambil mesti berasaskan kebaikan melebihi keburukan.

"Ibu bapa yang risaukan mengenai keselamatan atau mempunyai anak-anak berisiko tinggi, boleh terus memastikan anak-anak mereka memakai pelitup muka," katanya.

PELAJAR kini bebas untuk memakai atau tidak memakai pelitup muka di sekolah . Gambar hiasan
PELAJAR kini bebas untuk memakai atau tidak memakai pelitup muka di sekolah . Gambar hiasan

Dalam konteks pembelajaran di sekolah pula, kata Dr Nor Faiza, pemakaian pelitup muka mungkin mengganggu proses pembelajaran terutama kepada pelajar sekolah rendah.

"Mereka pada usia ini amat memerlukan interaksi lisan dan bukan lisan.

"Kanak-kanak juga perlu melihat kepada riak wajah, ekspresi dan gerak bibir daripada guru dan rakan-rakan dalam membantu perkembangan serta kebijaksanaan emosi serta sosial mereka," katanya.

Sementara itu, ibu, Suzilawani Abdullah, 42, pula berkata, jika di tempat awam, penggunaan pelitup muka tidak ada masalah baginya, tetapi di sekolah ia masih perlu.

Katanya, dalam bilik darjah walaupun mempunyai tingkap, tetapi bilangan pelajar sangat ramai dan ada sehingga 40 orang satu kelas.

"Bagi saya, kalau dalam kelas, seelok-eloknya pakai. Kita tidak melihat virus yang ada dan kadangkala pelajar tidak menjaga penjarakan mereka. Bercakap dekat-dekat.

"Kalau di luar bilik darjah seperti perhimpunan, tidak pakai pun tidak mengapa," katanya yang tetap memastikan anak-anaknya memakai pelitup muka di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:02 AM