Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Skuad berstatus kelab T-Team mahu melakar kejutan kedua apabila bertemu FELDA United FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, walaupun misi untuk melakukan kejutan itu sukar direalisasikan berikutan bertemu pasukan bimbingan bekas jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim, tetapi semangat pemain tetap membara.

“Pemain kini berada pada prestasi terbaik dan moral juga tinggi, apatah lagi selepas mengejutkan Kelantan 3-1.

“Kini pemain bertekad melakukan kejutan sekali lagi dalam misi untuk mengutip tiga mata di laman sendiri bagi layak ke suku akhir,” katanya.

Pada aksi pusingan pertama peringkat kumpulan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu tewas 0-3 kepada FELDA United.

Syahrizan berkata, kehadiran semula dua pemain sayap Mohd Nor Hakim Hassan dan Ahmad Takhiyuddin Roslan selepas sembuh daripada kecederaan bakal memantapkan lagi pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu.

“Pada pertemuan dengan Kelantan dan Selangor sebelum ini mereka tidak dapat disenaraikan kerana belum pulih sepenuhnya dan kehadiran semula kedua-dua pemain itu diharap dapat membantu kami memburu kemenangan,” katanya.

Beliau turut mengharapkan pemain The Titans mengambil peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata sebelum dua perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:01 AM