Kuala Terengganu: Pasukan bola sepak berstatus kelab T-Team dijangka menggugurkan sekurang-kurangnya 50 peratus pemain yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan bagi menghadapi kempen Liga M musim depan.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahizan Mohd Zain berkata langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan mereka yang akan beraksi dalam Liga Perdana lebih mantap dan hebat.

“Kami akan menggugurkan mana-mana pemain yang tidak dapat membantu pasukan dan mencari pemain baharu,” katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Mohd Syahizan T-Team akan melepaskan pemain yang tidak diperlukan itu lebih awal supaya mudahkan mereka menyambung kerjaya dengan pasukan baharu musim depan.

Beliau berkata rata-rata pemain T-Team musim ini membabitkan anak Terengganu.

Mohd Syahizan berkata pencarian pemain baharu untuk memantapkan pasukan terserah kepada jurulatih nanti.

Dalam pada itu beliau berkata pasukan T-Team akan membuat persiapan lebih awal untuk memastikan pasukan itu tampil lebih mantap dalam Liga M musim hadapan.

Beliau berkata pasukan itu akan dikendalikan penolong jurulatih Mohd Azhari Salim sementara ketua jurulatihnya yang berasal dari Croatia, Fomislav Steinbruckner (gambar) akan kembali ke sini dalam masa terdekat.

Katanya T-Team akan mula latihan di padang Kompleks Sukan Gong Badak, pada 23 November ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 7:55 AM