Dua belas ahli kumpulan kongsi gelap 21 Kuala Selangor yang ditahan.
Dua belas ahli kumpulan kongsi gelap 21 Kuala Selangor yang ditahan.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Dua belas ahli kumpulan kongsi gelap 21 Kuala Selangor termasuk ketuanya ditahan di sekitar daerah itu dalam Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) dijalankan Bahagian D7 Bukit Aman antara 4 petang semalam hingga 7 pagi tadi.

Dalam operasi yang diketuai Ketua Unit Pencegahan Kongsi Gelap, Deputi Superintendan Shan Gopal Krishnan, polis turut menahan penolong kepada ketua kumpulan berkenaan yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan dua lelaki di Kuala Selangor, pada 2002.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata semua individu berusia antara 20 hingga 46 tahun itu ditahan selepas polis menjalankan pemantauan dan risikan sejak tiga bulan lalu.

"Semua yang ditahan direman selama 21 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA), bermula hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, Bahagian D7 akan terus mempergiatkan usaha bagi membanteras gangsterisme dan kongsi gelap demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 6:48 PM