Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan ketua kumpulan kongsi gelap Double Seven (77) hasil serbuan Bukit Aman, di Seremban, semalam.

Dalam serbuan jam 9.45 malam, lelaki berusia 47 tahun bergelar Datuk terbabit ditahan menerusi Operasi Cantas (Op Cantas) dilaksanakan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman.

Difahamkan suspek ditahan bagi siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966 selepas disyaki terbabit dengan kongsi gelap.

Semakan dilakukan pihak polis turut mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki berhubung satu kes jenayah di Chenderiang, Perak, pada 2011.

Sumber polis berkata, hasil penahanan suspek polis turut merampas baju korporat disyaki ada kaitan pertubuhan kongsi gelap disertai lelaki berkenaan serta sebuah telefon bimbit.

"Pemeriksaan fizikal turut mendapati suspek mempunyai beberapa tatu pada bahagian badan dan lengannya dipercayai simbol kumpulan kongsi gelap.

"Selain itu, suspek dipercayai turut terbabit dalam pertubuhan Badan Amal Tarbiah Sejagat Batas Malaysia (BATAS).

"Suspek terbabit ditahan dan dibawa ke pejabat STAGG Bukit Aman untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 9:06 PM