KOLEKSI tampil pakaian daripada kain sifon, shantung, dobi kapas dan songket.
KOLEKSI tampil pakaian daripada kain sifon, shantung, dobi kapas dan songket.
Faizatul Farlin Farush Khan


Anggun dan eksklusif. Begitulah gambaran pertama tatkala terpandang koleksi baju kurung moden dan tradisional yang disusun rapi di butik Rekka.

Memberi perhatian teliti kepada penampilan, setiap material termasuk kain dan perincian manik dipilih dengan berhati-hati.

Deretan koleksi di butik di tingkat tiga, SACC Mall Shah Alam itu menampilkan pakaian dihasilkan daripada kain sifon, shantung, dobi kapas dan songket.

Dijual pada harga antara RM200 hingga RM4,000 bergantung kepada jenis kain dan perincian yang ada, butik itu menawarkan pakaian sesuai untuk majlis rasmi dan ke pejabat.

Pemilik butik Suhana Ahmad berkata, biarpun begitu dia turut menawarkan pakaian yang boleh ditempah dan jenis pakaian mengikut cita rasa pelanggan, jika mereka mahu saiz, material atau warna yang berbeza.

“Selain baju kurung, kami juga menawarkan pakaian anggun untuk pengantin dan majlis bertunang, selain pakaian kasual bagi mereka yang gemar tampil anggun dengan rekaan berkualiti setiap masa.

“Apa yang membezakan kami dengan pereka lain adalah material yang dipilih. Kami hanya menggunakan bahan bergred tinggi termasuk kain, manik, kristal, ‘batu berlian’ dan renda supaya ia nampak eksklusif.

“Jika dilihat sekali lalu pun boleh nampak perincian yang kami letak ini lebih menyerlah dan berkualiti tinggi,” katanya yang turut memaparkan koleksi pakaian itu di Instagram dan Facebook.

Bagi rekaan lebih eksklusif, ia hanya dibuat sehelai namun selebihnya akan dihasilkan dalam warna berbeza.

Suhana berkata, setiap rekaan juga hanya dibuat sekali dan tidak akan diulang semula supaya apabila koleksi baru dihasilkan, pelanggan akan sentiasa dapat menyarung gaya baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:00 AM