3 beradik cipta label pakaian sendiri tepati bentuk badan wanita Asia.
3 beradik cipta label pakaian sendiri tepati bentuk badan wanita Asia.
Intan Mas Ayu Shahimi


Latar belakang pendidikan dan pengalaman kerja berbeza tidak pernah mengehadkan tiga beradik ini mencorak kebolehan dalam dunia fesyen. Minat dan peka kepada tuntutan fesyen semasa membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka mencipta label pakaian sendiri.

Berdiri atas jenama Meraki Atelier, Datin Norliza Razali, Norazni dan Norazlin begitu yakin rekaan yang dihasilkan pereka mudanya mampu memenuhi cita rasa serta kehendak fesyen ramai wanita kini.

Menurut Norliza, koleksi Meraki kali ini inspirasi daripada busana Yunani lama yang banyak menggunakan teknik pembuatan pola dasar (draping) dalam siluet mereka.

“Nama Meraki diperoleh ketika satu percutian keluarga ke Greek tahun lalu. Berpegang kepada maksud perkataan itu, kami sememangnya mahu menawarkan rekaan pakaian yang dihasilkan sepenuh jiwa, kreativiti dan rasa kecintaan.

“Koleksi ini juga tercetus apabila kami tiga beradik berdepan masalah sama setiap kali mencari busana siap dipakai atau yang ditempah mengikut ukuran. Saiznya selalu tidak menepati bentuk badan wanita Asia, kerap memerlukan pengubahsuaian serta mahal.

“Dari situ, timbul idea untuk kami menghasilkan koleksi busana pada harga berpatutan, tetapi sarat dengan perincian mewah serta berkualiti,” katanya ketika pembukaan rasmi butik Meraki Atelier, baru-baru ini.

Antara koleksi yang dilancarkan ialah Meraki Essentials yang menawarkan busana siap dipakai dan Meraki Luxe (koleksi atelier atau dibuat khas mengikut potongan badan).

Jelas Norliza, koleksi Meraki banyak memberi fokus kepada ketepatan potongan dan ukuran untuk menyerlahkan bentuk badan wanita Asia.

“Kami mengetengahkan seni pembuatan pola dasar dan lipatan dalam teknik memanipulasi fabrik sebagai perincian utama. Perincian ini kemudian diserlahkan dengan hiasan seperti batu swarovski, manik besar serta bulu burung unta supaya nampak lebih moden, elegan dan mewah.

“Kami mahu menonjolkan gaya feminin glamor menerusi fokus utama kepada manik kristal jahitan tangan, peplum organza, kemasan burung unta, lipatan, motif tiga dimensi dan renda di atas siluet ringkas.

“Sementara fabrik digunakan untuk keseluruhan koleksi pula dipilih daripada jenis sutera, crepe, renda dan organza. Ia turut digabungkan antara satu dengan lain bagi menonjolkan perincian tertentu,” katanya.

KOLEKSI LEBARAN

Saban tahun, kedatangan Aidilfitri memang dinantikan kebanyakan pereka fesyen dan pemilik jenama tempatan. Bagi Meraki, koleksi lebarannya membawa simbolik kemenangan menerusi gabungan warna lembut dan hiasan mewah batu kristal. Malah, gaya feminin dan glamornya cukup sesuai untuk berkunjung ke rumah sanak-saudara di hari raya.

“Selain Meraki Essential dan Meraki Luxe, kami juga ada Meraki Capsule. Koleksi siap dipakai ini bersifat premium dan terhad. Ia banyak me­nggunakan siluet yang lebih romantik dengan warna terang musim bunga seperti merah, biru, kuning dan jingga untuk menampakkan karakter berani dan feminin. Setiap koleksi mempunyai tujuh rekaan yang mengetengahkan inspirasi berbeza,” katanya.

Tambah Norliza, pihaknya mementingkan hasil seni berkualiti dalam setiap rekaan. Berikutan itu, setiap perincian kristal, manik dan kemasan motif diberi fokus utama menerusi kaedah jahitan tangan oleh artisan dari bengkel Meraki sendiri.

Busana koleksi Meraki ini dijual pada harga bermula RM250. Pelanggan boleh mengunjungi butik di Sunway Nexis Kota Damansara atau membuat pembelian secara dalam talian menerusi Instagram @merakiatelier.my.

AGALIA

Terdapat dalam dua warna iaitu biru dan hijau emerald. Rekaan ini diperincikan dengan bulu burung unta dan manik untuk menampilkan gaya anggun pemakai. Me­nggunakan fabrik crepe, busana ini sangat selesa, ringan dan tidak mudah renyuk. Lengan baju disempurnakan dengan zip sorok, sekali gus menjadikannya mesra wuduk dan mudah dipakai. Potongan peplum digunakan untuk menampakkan sisi langsing dan tinggi, sementara bahagian kain menggunakan potongan duyung.

AGORA

Menggunakan poto­ngan baju kurung moden dengan padanan garisan puteri. Perincian di bahagian bahu untuk menyerlahkan konsep moden serta menonjolkan gaya pemakai. Busana menggunakan kain crepe dan kemasan organza.

ALETHEA

Rekaan ini menggunakan fabrik campuran renda untuk menampakkan gaya moden. Ia digabungkan dengan potongan peplum dan perincian di bahagian bahu. Manik diletakkan di bahagian pinggang sebagai hiasan utama rekaan, sementara kainnya dibuat dengan potongan lurus.

AGATHE

Ia adalah rekaan busana sepasang dengan potongan gaun panjang yang menggunakan fabrik jenis renda di bahagian atas, diikuti crepe rona perang muda di bahagian bawah dada hingga ke kaki. Lengkap dengan potongan beralun dari bawah dada, busana ini juga diberi perincian manik untuk menyerlahkan gaya.

AURORA

Baju kurung moden ini diberi sentuhan segar dengan potongan garis puteri, renda dan perincian manik di dada. Rekaan ini menampakkan si pemakai lebih anggun dan ayu.

ANTHENIA

Menampakkan si pemakai lebih manis dan chic kerana terdapat perincian di bahagian dada serta belahan belakang baju yang sangat elegan. Rekaan ini jenis busana sepasang. Ia mempunyai potongan beralun di bahagian bawah baju. Terdapat dalam dua warna iaitu merah jambu dan biru.

ALEXA

Menggunakan rona biru lembut, rekaan ini diserikan dengan potongan leher ke bahu bersama perincian manik. Busana potongan mewah ini membuatkan si pemakai lebih berseri dan bergaya. Kain berlisu digunakan pada bahagian skirt untuk memberi kesan tinggi. Fabrik digunakan ialah jenis crepe dan selesa dipakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 4:50 AM