PAKAIAN kasual turut dijual.
PAKAIAN kasual turut dijual.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Memberi keutamaan kepada cita rasa pelanggan, butik pakaian berkonsep Muslimah anggun, Hamshi, semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat fesyen menutup aurat.

Begitu menitikberatkan keselesaan pelanggan, menurut Pengarah Urusan Hamshi Asiahtunakma Abdullah, pelanggan dialu-alukan untuk memberi pandangan mengenai keinginan mereka terhadap fesyen keluaran jenama itu.

Malah, katanya setiap pandangan pelanggan diambil secara serius serta diterapkan dalam koleksi keluaran seterusnya kerana baginya, pelanggan faktor utama yang meng­gerakkan sesuatu perniagaan.

“Kami turut meminta kakitangan kami yang melayan pelanggan supaya mencatat setiap panda­ngan daripada pelanggan supaya jenama ini boleh memberikan apa yang mereka ingini.

“Hamshi adalah jenama fesyen yang mengikut permintaan terkini. Justeru, setiap kali ingin menghasilkan koleksi terbaru, saya dan pereka pasti berbincang mengenai idea sebenar yang dimahukan pelanggan.

“Tidak cukup dengan itu, kami memandang serius sebarang aduan demi melahirkan jenama yang mampu memberi ke­puasan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mula beroperasi pada November lalu, Asiahtunakma berkata, semuanya bermula ketika dia mencari jubah lebih selesa, sesuai dengan ketinggiannya namun berhadapan kesukaran kerana kebanyakan jubah yang ada di pasaran terlalu singkat.

Melihat keadaan itu, dia yakin ramai yang bertubuh tinggi lampai seperti dirinya turut menghadapi keadaan itu lalu menghasilkan rekaan jubah lebih labuh.

Pada masa sama, rata-rata peminat pakaian Muslimah mahukan jubah tidak terlalu labuh bagi disesuaikan dengan tubuh masing-masing.

“Menyedari terdapat dua aliran permintaan berbeza berdasarkan labuh jubah, Hamshi menghasilkan jubah dengan ketinggian 58 inci untuk mereka yang bertubuh tinggi serta 56 inci bagi saiz standard,” katanya.

Kata wanita peramah itu, minat menjahit yang mendalam dalam dirinya membuatkan dia menghasilkan rekaan yang dimahukan terlebih dulu sebelum melantik pereka fesyen secara separuh masa.

Menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelang­gan, Hamshi menghasilkan sekurang-kurangnya satu rekaan terbaru jubah eksklusif setiap bulan.

“Bagi memberi kelainan, kami juga memilik fabrik daripada jenis satin valentro kerana sifatnya yang sejuk, berat, berkualiti tinggi dan tidak melekat pada badan.

“Apabila ia disarung, koleksi jubah ini nampak begitu eksklusif kerana kainnya jatuh elok pada badan, sekali gus wanita kelihatan lebih anggun.

“Apa yang cuba ditawarkan oleh Hamshi adalah koleksi yang ringkas tetapi tetap anggun, sesuai digayakan semua peringkat umur di sebarang majlis. Ia tidak terlalu menonjol tetapi tidak pula terlalu ringkas,” katanya.

Jubah yang dijual antara RM120 hingga RM300 terdiri daripada jenis paling ringkas hingga kepada ­eksklusif.

Bagi jubah eksklusif, ia diperindahkan dengan perincian batu kristal, manik dan renda manakala jubah koleksi biasa lebih minimalis namun tetap anggun.

Jubah keluaran Hamshi turut diterapkan dengan elemen kain tradisional di beberapa bahagian jahitan dengan penggunaan batik, songket, pua kumbu dan pelikat.

Terdapat dua jenis potongan jubah daripada Hamshi iaitu potongan A atau puteri dan potongan lurus, bagi ­disesuaikan dengan cita rasa dan bentuk tubuh berbeza.

Selain jubah, ia turut menawarkan selendang daripada kain sifon dan tudung sedia dipakai daripada kain kapas lycra yang dijual pada harga bermula serendah RM20 hingga eksklusif pada harga RM200.

Bagi peminat pakaian kasual pula, jenama itu menghasilkan blaus dan skirt labuh yang boleh digayakan ke pejabat ataupun bersantai.

Malah, Hamshi akan tampil dengan rekaan eksklusif termasuk baju kurung, jubah rekaan eksklusif serta koleksi pakaian lelaki menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Memandangkan permintaan terhadap jenama ini semakin bertambah, kami juga mencari mereka yang berminat untuk menjadi pemborong dan melakukan dropship.

“Pada masa sama, kami mencari pereka pakaian yang boleh bekerja tetap dengan kami untuk melahirkan idea fesyen terbaik sesuai dengan kehendak pelanggan,” katanya.

Koleksi terbaru daripada Hamshi boleh dilihat di laman Facebook/ Hamshi Syle dan Instagram/ @hamshistyle atau butik fizikalnya yang terletak di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya dan Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:02 AM