Asyraf jaga anak sebaik mungkin. FOTO HM
Asyraf jaga anak sebaik mungkin. FOTO HM
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Paparan berita kelalaian ibu bapa yang membawa kepada tragedi kanak-kanak terjatuh eskalator dan penculikan membuatkan pelakon Amar Asyraf amat berhati-hati menjaga keselamatan anak tunggalnya, Amar Taufiq yang kini berusia dua tahun.

Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 30, berkata, dia juga belum berhasrat menambah anak kerana bimbang tidak dapat menguruskan Taufik dengan baik.

"Saya akui ngeri apabila menerima mesej applikasi WhatsApp dari kawan-kawan yang memaparkan pelbagai imej tragedi membabitkan kanak-kanak

"Saya bukan tak percayakan isteri, Arna Salleh, tetapi sekiranya kami keluar kemana-mana dan ada dua anak memang sukar jadinya.

"Nak mengendalikan Taufiq pun agak sukar kerana dia lasak. Apabila dia sudah besar sedikit dan mendengar kata, barulah hari saya tenang,” katanya kepada Harian Metro.

Amar yang kini popular menerusi drama bersiri Umairah menjelaskan dia sudah merujuk Taufik kepada doktor dan anaknya itu disahkan bukan hiperaktif.

"Keadaan kesihatan Taufiq stabil cuma dia tidak boleh duduk diam. Ada saja kerja dilakukannya.

"Alhamdulillah anak saya tidak minat gajet dan lebih suka bermain bola sepak. Kalau bermain gajet pun sekejap kerana dia mudah bosan.

"Sekarang saya hantar dia ke kelas bola sepak. Dia menggemari sukan dan suka main pasir.

"Aktiviti begini patut didedahkan kepada kanak-kanak. Gajet membuatkan kanak-kanak tidak aktif dan kurang bergerak,” katanya yang akan membiarkan Taufiq memilih kerjaya pilihannya apabila dewasa kelak.

Menurut Amar lagi, dia mengamalkan nilai positif apabila mengelak menjawab telefon apabila bersama Taufiq.

"Isteri selalu mengingatkan saya agar sentiasa fokus dengan Taufiq sekiranya kami keluar berdua tanpanya.

"Sekarang saya akan abaikan panggilan atau mesej kerana keselamatan anak lebih penting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 11:49 PM