Amar Asyraf (kiri) bimbang Taufiq jadi tumpuan. FOTO IG Amar Asyraf
Amar Asyraf (kiri) bimbang Taufiq jadi tumpuan. FOTO IG Amar Asyraf
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON, Amar Asyraf, 33, mengakui pelik dengan populariti dikecapi anaknya Amar Taufiq, 4, apabila sering menjadi tumpuan setiap kali dibawa ke khalayak ramai.

Amar atau Amar Asyraf Zailuddin berkata, dia terkejut ramai pihak ingin mendekati Amar Taufiq untuk bermesra dan bergambar sedangkan dia jarang mendedahkan gambar anak tunggalnya itu di laman sosial peribadi.

“Biarpun usia masih muda, saya sengaja hantar dia bersekolah sebagai pendedahan awal. Saya sebenarnya hairan juga dengan Taufiq kerana sentiasa mendapat perhatian ke mana-mana.

“Malah, sesekali ia mencetuskan kebimbangan juga kalau berlaku perkara tak elok. Lagipun saya dan isteri jarang keluarkan gambar Taufiq di laman sosial kami.

“Orang pun tak tahu Taufiq anak saya tapi setiapkali keluar berjalan, mereka pasti akan ambil peluang bergambar dengannya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amar, ketika mereka membawa Amar Taufiq mengerjakan umrah di Makkah baru-baru ini, anaknya ‘ditangkap’ oleh individu yang mahu bergambar.

“Kami jadi takut pula dengan perkara ini. Di Malaysia pun situasi sama juga dilalui apabila isteri membawa Taufiq keluar berdua, ada banyak pihak yang nak ambil gambar dia.

“Mereka langsung tak tahu itu anak saya. Saya bimbang kalau ada berniat tak baik. Kami masih lagi membawanya ke khalayak ramai tapi akan sentiasa berhati-hati mengikuti setiap langkah Taufiq,” katanya.

Dalam pada itu, Amar mengakui sudah bersedia memiliki anak kedua dan teringin mempunyai anak perempuan.

“Memang isteri saya merancang dapat anak kedua kerana nak memerhatikan perkembangan Taufiq. Saya pula sudah enam bulan teringinkan anak perempuan.

“Sebelum ini, isteri kata nak tengok Taufiq bersekolah dan pandai sesuaikan diri. Apabila semuanya dah okay, barulah dia bersedia untuk mengandung.

“Isteri pun sudah tahu selok belok Taufiq bersekolah dan apa yang perlu diuruskan. Sekarang kami boleh teruskan hasrat untuk dapat anak lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 4:39 PM