Syanty Octavia Amry


PELAKON Amar Asyraf mengakui terkilan dengan sikap segelintir pelakon baharu yang kurang memberikan fokus terhadap watak mereka. Amar berkata, sebagai pelaku seni yang sudah 10 tahun terbabit dalam bidang lakonan, dia amat menitikberatkan disiplin dan penjiwaan watak.

Baginya, pelakon perlu banyak melakukan latihan dan sentiasa belajar untuk memperbaiki persembahan.

“Saya tidak faham masih ada segelintir pelakon baharu tidak berusaha dan belajar memperbaiki lakonan mereka. Kadang-kadang saya sendiri letih melihat mereka kena marah di lokasi penggambaran.

“Mereka terlalu sibuk mengejar populariti dan mengumpul pengikut di laman sosial sehingga terlupa lakonan juga perlu diperbaiki,” katanya.

Amar berkata, pernah dia menunggu sehingga satu jam untuk memastikan pelakon gandingannya menghafal watak.

“Sebagai orang yang sudah berpengalaman saya turut memberi tunjuk ajar bagi memastikan kami sama-sama berjaya menghidupkan watak masing-masing.

KUALA LUMPUR 24 MEI 2019. Artis, Amar Asyraf pada program "Indahnya Syawal" di KL Gateway Mall. NSTP/MAHZIR MAT ISA
KUALA LUMPUR 24 MEI 2019. Artis, Amar Asyraf pada program "Indahnya Syawal" di KL Gateway Mall. NSTP/MAHZIR MAT ISA

“Namun, jika setiap hari di lokasi saya perlu melakukan perkara yang sama lebih baik pelakon itu bayar saya untuk jadi guru lakonannya,” katanya.

Amar berkata, dia tidak kisah jika seseorang pelakon mensasarkan untuk popular kerana baginya setiap individu punya hak untuk menentukan apa yang mereka mahu dalam kerjaya.

Namun, tegasnya janganlah sampai apa yang dikejar menyusahkan orang lain dan mengganggu kelancaran keraja.

“Saya melihat industri lakonan kita tidak hanya melahirkan pelakon yang kurang berkualiti, kadang-kadang skrip juga menyedihkan.

“Saya berharap produksi dan stesen TV pilihlah pelakon yang betul-betul layak. Jika hendak kejar ‘rating’ sekalipun pastikan pelakon berkenaan berkualiti dan tidak hanya popular semata-mata,” katanya.

Dalam perkembangan lain Amar turut sibuk di lokasi penggambaran filem Escape yang menyaksikan gandingannya dengan Kamal Adli dan Elizabeth Tan.

Amar berkata, meskipun dirinya kurang popular, dia bersyukur kerana banyak menjayakan drama berkualiti.

“Saya sedar kenapa diri kurang popular. Selain sangat menitikberatkan kualiti jalan cerita, drama lakonan saya juga kurang disiarkan di slot-slot perdana.

“Namun begitu, saya tidak kecewa malah saya puas dapat tampil dalam karya-karya bermutu,” katanya.

BAKAL TIMANG ANAK PEREMPUAN

Beralih kehidupan peribadinya, Amar teruja kerana bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi. Katanya, selepas dikurniakan anak lelaki, Amar Taufiq yang kini berusia lima tahun, keluarganya akan diserikan pula dengan kehadiran bayi perempuan.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira apabila dapat tahu isteri bakal melahirkan anak perempuan. Melihat kesakitan yang ditanggung isteri sepanjang hamil, rasanya cukuplah jika kami ada dua anak sahaja.

“Namun begitu, saya tidak menolak jika diberikan rezeki anak lagi. Apapun, biarlah anak kedua ini besar dulu,” katanya.

Melihat kecenderungan putera sulungnya, Amar menolak jika si kecil itu mahu menurut jejak langkahnya. Baginya, cukuplah dia seorang saja yang membabitkan diri dalam dunia seni tetapi bukan anak-anaknya.

“Saya tidak galakkan anak-anak untuk menceburi bidang ini. Namun, jika dia minat, saya akan pastikan dia tamat pengajian terlebih dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:00 AM