CHOM (kiri) dibantu anaknya, Suwati menjual nasi kerabu ‘power’ di pasar Pertubuhan Peladang Kawasan di Kuala Kubu Bharu.
CHOM (kiri) dibantu anaknya, Suwati menjual nasi kerabu ‘power’ di pasar Pertubuhan Peladang Kawasan di Kuala Kubu Bharu.

Kuala Kubu Bharu: Sajian nasi kerabu Mek Nah ‘power’ seawal jam 6 pagi bakal dinikmati peserta sirkit akhir Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Taman Millenium Kuala Kubu Bharu, Sabtu ini.

Menu istimewa asli dari Kelantan itu melonjak nama Chom Hassan, 56, atau Mek Nah mengusahakan gerainya di Pasar Pagi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di pekan Kuala Kubu Bharu.

Menurut Chom dengan menggunakan menu menarik pelbagai jenis lauk dan ramuan asli dari Kelantan ramai pelanggan berkunjung ke gerainya.

Katanya, bermula dengan harga RM3 hingga RM6 pelanggan boleh memilih makanan enak itu untuk dinikmati bersama keluarga, rakan dan teman pejabat.

“Saya buka gerai awal pagi hingga jam 11 setiap hari kecuali Jumaat. Sudah tentu kami akan menyediakan hidangan istimewa ini kepada ribuan pelumba nanti.

“Tidak hanya orang dari Pantai Timur, menu ini sudah sebati dengan penduduk tempatan Kuala Kubu Bahru ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, perniagaan keluarga itu dibantu suaminya, Salleh Daud dan anak perempuan, Suwati Salleh sejak 12 tahun lalu.

Katanya, setiap hari mereka menyediakan lebih 50 kilogram nasi kerabu, nasi dagang dan nasi lemak berlauk kepada pelanggan.

“Kami juga jual aneka kuih tradisional Melayu dengan harga istimewa. Teruja benar saya apabila ramai pelumba sirkit Harian Metro berkunjung ke sini,” katanya.

Mereka yang ingin membuat tempahan awal nasi kerabu bolehlah menelefon beliau di 017- 2748221.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:17 AM