Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Tidak lengkap berkunjung ke Kelantan tanpa merasa keenakan kerutuk daging yang popular di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Bagi yang tidak mengenali hidangan tradisional Kelantan ini, kerutuk kelihatan seperti rendang tetapi kaya dengan rasa lemak santan dan kerisik kelapa.

Di Kota Bharu, kerutuk daging dan ayam menjadi menu istimewa Restoran Ibu Selera Asli Pantai Timur di Jalan Hulu Pasar.

Lebih menarik, pelanggan boleh menceduk sendiri gulai untuk dinikmati bersama nasi panas, sayur lemak dan hidangan ayam kampung yang segar dari ladang.

Pengurusnya, Abdul Hakim Sabri berkata, hidangan istimewa itu dimasak mengikut resepi ibunya dan disajikan setiap hari kepada pelanggan.

"Kerutuk daging dan ayam di sini lebih enak kerana dimasak dengan rempah khas menggunakan resepi warisan keluarga ibu.

"Kita memelihara kualiti rasa dengan menggunakan bahan sediaan sendiri seperti ciling giling, pati santan dan kerisik," katanya.

Selain hidangan kerutuk, katanya restoran itu turut menjadi tumpuan setiap Jumaat kerana menawarkan nasi dagang istana dan nasi lemak 'panjang'.

Kedua-dua hidangan itu dikatakan berbeza rasa dan rupa kerana menggunakan resepi Terengganu.

"Nasi dagang istana menjadi rebutan kerana keenakan gulai ikan tongkolnya dan dibungkus dalam daun pisang.

"Nasi lemak panjang disukai ramai kerana menggunakan beras basmati dan rasa sambalnya lebih pedas," katanya.

Katanya, meskipun restoran itu baru tiga bulan beroperasi, sambutan diterima sangat menggalakkan.

"Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan rasa dan harga yang kami tawarkan kerana mereka suka rasa asli kerutuk daging dan ayam," katanya.

Restoran itu dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang setiap hari dan jangan lupa datang awal bagi mengelak kerutuk daging kehabisan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM