ASMANI menunjukkan hidangan Kerabu Mangga Kaw.
ASMANI menunjukkan hidangan Kerabu Mangga Kaw.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Aroma manis gula dan masam cuka yang diadun bersama pelbagai jenis ulam-ulaman serta berwarna-warni memikat sesiapa saja yang melalui gerai milik Asmani Salleh, 35, di Bazar Ramadan Nu Sentral di sini.

Malah, bekas yang penuh berisi pelbagai jenis kerabu yang dijual oleh Asmani itu pasti membuatkan sesiapa saja tertarik untuk mencuba.

Asmani atau mesra dipanggil Kak As berkata, gerainya menawarkan empat jenis kerabu iaitu mangga, betik, mi segera dan suhun yang menggunakan resipi ciptaannya sendiri.

“Sebenarnya ini kali pertama saya menjual kerabu pada Ramadan dan tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Sejak awal Ramadan, setiap hari saya menjual kira-kira 80 bungkus kerabu pada harga RM7 sebungkus. Alhamdulillah, ada antara kerabu ini habis dijual sebelum waktu berbuka,” katanya.

Selain itu, menu sampingan dijual Asmani adalah nasi kerabu, pulut mangga, rojak buah, nasi campur, nasi ayam dan laksa Thailand.

Menurutnya, proses menyediakan kerabu tidak rumit tetapi perlu menggunakan bahan segar agar hidangan itu tidak cepat basi selain menjamin kualiti dan keenakan makanan.

“Antara kelainan pada kerabu saya adalah sambalnya dihasilkan sendiri. Selain itu, saya tambah hirisan jagung untuk menjadikannya lebih enak.

“Bagi mengekalkan keaslian makanan Thailand, mi segera yang digunakan dibeli dari negara itu. Mi dan kerabu yang sebati menyebabkan ramai pelanggan terpikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 10:43 AM