Edry menang Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak di Malaysia Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), malam tadi. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Edry menang Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak di Malaysia Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), malam tadi. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Michelle Gun


Petaling Jaya: Komposer yang juga anggota kumpulan KRU Edry Abdul Halim sekali lagi diiktiraf sebagai Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak di Malaysia selepas menggungguli kategori itu pada Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) 2016, malam tadi.

Ia tahun ketiga berturut-turut Edry menerima pengiktirafan itu.

Majlis berlangsung di The Royale Chulan Damansara di sini, menyaksikan pesaing terdekat Edry, Datuk M Nasir yang turut tercalon dalam kategori itu dinobatkan pemenang Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak menerusi syarikat miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd.

Pemenang kategori lain termasuk Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak diraih Habsah Hassan, Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak (Universal Music Publishing Sdn Bhd) diikuti Komposer Muda Berpotensi yang dimenangi Najwa Latif.

Anugerah khas Nadi Cipta kali ini disampaikan kepada penyanyi dan bekas anggota kumpulan Kembara, A Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan.

Bagi kategori Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak dimenangi Sleeq, Tiz Zaqyah dan Zain Saidin menerusi single Together ciptaan Wong Yu Ri.

Trofi Lagu Melayu Persembahan Terbanyak pula menjadi milik lagu Gadis Jolobu kolaborasi Waris dan Hattan.

Selain itu, lagu Putih Putih Melati nyanyian kumpulan ST12 dari Bandung, Indonesia diumumkan pemenang bagi kategori Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak.

Sementara itu, Lagu Cina Per Persembahan Terbanyak dan Lagu Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi masing-masing dimenangi lagu Wo Ai Ta (Della) dan Tian Hou (Andrew Tan).

Majlis diserikan dengan persembahan6ixth Sense, Von Lee, Aiman Tino, Tasha Manshahar, Syed Shamim dan Fredo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 11:24 PM