PEARLY (kanan) dan Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Singapura. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEARLY (kanan) dan Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Singapura. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kekalahan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di pusingan pertama di Terbuka Singapura semalam memberi penganjaran kepada mereka untuk membaiki prestasi menjelang Terbuka Indonesia minggu hadapan.

Bagi Pearly, kekalahan itu sangat menyedihkan dan permainan pantas serta serangan demi serangan yang dipamerkan oleh pasangan China itu ternyata memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Jelasnya, dia dan pasangannya dapat mempelajari banyak perkara pada perlawanan itu dan akan perbaiki segera permainan agar dapat tampil lebih baik selepas ini.

"Memang kita agak kecewa dalam perlawanan hari ini (semalam). Pihak lawan pun banyak memberi tekanan dan kita pun tak ada banyak penyelesaian untuk balas balik permainan mereka.

"Kita boleh banyak belajar daripada mereka juga. Walaupun umur mereka tidak tua sangat, tapi mereka sangat pantas dan agresif. Jadi, saya rasa ini sesuatu yang kita kena fokus semula," katanya.

Sementara itu, Pearly pula berpendapat permainan pantas yang ditampilkan oleh Sheng Shu-Ning membuatkan mereka gagal mengikut rentak perlawanan sehingga terpaksa akur menerima kekalahan straight set.

"Sekarang balik (berlatih di Malaysia), ada beberapa hari untuk melakukan persiapan untuk Terbuka Indonesia . Jadi, kita hanya mahu fokus dalam apa yang kita buat dan fokus memperbaiki dan tingkatkan semula prestasi kami," kata Pearly.

Pearly-Thinaah akan bertemu wakil Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui pada pusingan pertama di Terbuka Indonesia yang akan bermula 4 hingga 9 Jun ini.

Terdahulu Arena Metro melaporkan pasangan negara yang berada di ranking ke-13 dunia itu terpaksa akur apabila kalah mudah kepada lawan mereka, Sheng Shu-Ning 10-21-10-21 hanya dalam masa 35 minit sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:24 PM