Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Sebuah gudang tayar di Nibong Tebal, Pulau Pinang bukan sahaja dijadikan lokasi menyimpan 39 unit motosikal seludup, malah turut dijadikan tempat menyimpan arak tanpa lesen bernilai RM350,000.

Dalam serbuan 3.30 petang pada 13 Mei lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pemilik gudang terbabit.

Pengarah Kastam negeri Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 39 unit motosikal berjenama SkyTeam pelbagai model dengan anggaran nilai, duti serta cukai RM1,001,693 disyaki barang belum lulus kastam.

Katanya, premis sama turut menyimpan minuman keras pelbagai jenama dianggar nilai, duti serta cukai berjumlah RM356,383 dengan kuantiti keseluruhan 1,325 liter.

Menurutnya, premis itu tidak memiliki lesen menjual minuman keras di bawah Akta Eksais 1976.

"Siasatan mendapati motosikal itu didapati diimport dari China melalui Pelabuhan Klang dan siasatan masih dilakukan memandangkan semasa serbuan dibuat, pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit import dan sebagainya.

"Hasil risikan mendapati, semua motosikal itu sudah disimpan selama tiga tahun di premis itu... mungkin gagal dijual kalau dokumen tidak lengkap," katanya dalam sidang media kejayaan operasi serbuan berkenaan di Kompleks Penguatkuasaan & Pematuhan JKDM Stesen Ipoh, di sini hari ini.

ABDUL Ghafar menunjukkam motosikal dan arak yang dirampas JKDM Perak susulan serbuan di sebuah gudang tayar di Nibong Tebal, Pulau Pinang, 13 Mei lalu. FOTO Muhamad Zulsyamini Sufian Suri
ABDUL Ghafar menunjukkam motosikal dan arak yang dirampas JKDM Perak susulan serbuan di sebuah gudang tayar di Nibong Tebal, Pulau Pinang, 13 Mei lalu. FOTO Muhamad Zulsyamini Sufian Suri

Abdul Ghafar berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah keseluruhan RM1.35 juta.

Menurutnya, pemilik gudang berkenaan bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya diambil.

Namun, katanya, lelaki itu akan dipanggil semula untuk membantu siasatan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 bagi kes menyeludup motosikal; dan Seksyen 32 (1) Akta Eksais 1976 bagi kes membabitkan minuman keras.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:33 PM