GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Empat lelaki warga asing ditahan kerana menceroboh Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bandar Armada Putra Pulau Indah di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada seorang pegawai pusat berkenaan kira-kira 8 malam.

"Berdasarkan siasatan, anggota TLDM yang bertugas di mendapati empat lelaki terbabit dipercayai warga asing berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk PHN, jam 6 petang.

"Tidak lama kemudian, mereka berjalan hingga ke hujung pintu masuk dan berpura-pura mengambil gambar.

"Bagaimanapun, mereka ditahan oleh anggota TLDM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cha berkata, keempat-empat suspek berusia antara 21 hingga 36 tahun.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit suspek dan semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

"Polis turut menjalankan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi mengesahkan ketulenan pasport, permit dan pergerakan keluar masuk ke negara ini.

"Kesemua suspek direman tiga hari hingga hari ini. Polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut dalam tempoh terdekat," katanya.

Menurutnya, polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk hadir ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan (03-33762222) bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:02 PM