Badrul Hisham pada sidang media selepas hadir menyempurnakan serahan dokumen pengenalan diri kepada Afiq Aiman Muhamad berusia 22 tahun yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di rumahnya di Belakang Klinik Kesihatan Perol. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Badrul Hisham pada sidang media selepas hadir menyempurnakan serahan dokumen pengenalan diri kepada Afiq Aiman Muhamad berusia 22 tahun yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di rumahnya di Belakang Klinik Kesihatan Perol. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Empat negeri yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand iaitu Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah dikenal pasti antara negeri tertinggi mempunyai masalah mendaftarkan kelahiran anak disebabkan perkahwinan tidak teratur.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, perkahwinan yang tidak teratur dan tidak didaftarkan antara punca utama kebanyakan kanak-kanak yang dilahirkan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Katanya, kebiasaannya perkahwinan kedua di luar negara tanpa kebenaran dan pasangan tidak mendaftarkan semula status perkahwinan mereka di dalam negara menyebabkan kesukaran mendaftarkan anak-anak sebagai warga negara.

"Justeru pihak kami menyarankan mana-mana pasangan yang berkahwin di luar supaya mendaftarkan perkahwinan mereka kerana ia memberi kesan yang besar kepada taraf kerakyatan anak di kemudian hari.

"Komitmen kami adalah untuk membantu segala urusan JPN, walau bagaimanapun hak mendaftar perkahwinan adalah bergantung kepada individu masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri kepada Afiq Aiman Muhamad, 22, yang terlantar sejak lebih 20 tahun lalu di Kampung Chenok, di sini, hari ini.

Badrul Hisham berkata, JPN berperanan dalam merekodkan semua maklumat pemohon untuk membantu pasangan mendapatkan dokumen penting untuk anak mereka.

"Memang menjadi hak masyarakat untuk mendaftar perkahwinan dan kami membantu mereka mendapatkan dokumen," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sehingga Mei tahun ini, pihaknya sudah menerima lebih 22,000 permohonan dokumen pengenalan diri melalui program Mekar di seluruh negara.

"Kebanyakan permohonan yang diterima akan diproses dan mengikut statistik di Kelantan, hanya tiga permohonan daripada keseluruhan 1,587 masih dalam tindakan manakala selebihnya sudah selesai.

"Permohonan yang kami terima ini membabitkan pelbagai kes yang dilaporkan dan sebahagian besarnya adalah daripada Program Mekar Ihsan, Mekar Komuniti dan Mekar Satria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:31 PM