Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis melumpuhkan gabungan lima kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Geng TR menerusi Op Lima yang dijalankan pada 3 Mei lalu di sekitar Selangor, Johor dan Pahang.

Operasi khas itu dijalankan Bahagian Jenayah Terancang (D14) dengan kerjasama Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam operasi itu, pihaknya menahan 18 individu yang menganggotai Geng 08, Geng 18, Geng 21, Geng 24 dan Geng 36.

"Semua individu berkenaan adalah ahli kumpulan kongsi gelap berkenaan dan aktif menjalankan pelbagai kegiatan jenayah antaranya pembunuhan, pemerasan, pengedaran dadah dan khianat dengan api.

"Kumpulan ini dikesan aktif sejak 2019. Kita masih mengesan 10 lagi individu dipercayai terbabit dalam kumpulan jenayah terancang ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

MOHD Shuhaily (tengah) ketika sidang media. FOTO Sadiq Sani
MOHD Shuhaily (tengah) ketika sidang media. FOTO Sadiq Sani

Mohd Shuhaily berkata, semua individu yang ditahan dalam operasi itu ditahan mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula 3 Mei hingga 28 Mei.

Katanya, 20 individu termasuk dua di Penjara Sungai Buloh akan didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.

"Kita mengesan modus operandi kumpulan ini untuk menjadi ahli kumpulan sudah berbeza, individu yang mahu menjadi ahli perlu melakukan 'job' dan akan diterima sebagai ahli.

"Masih ada lagi saki baki ahli kumpulan yang kami akan kesan dalam masa terdekat dan sudah pasti mereka sudah melarikan diri tetapi kita akan kesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 11:52 AM