Ops Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan setinggan Sentul. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ops Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan setinggan Sentul. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Raja Noraina Raja Rahim & Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: "Malaysia bagus, Malaysia best," kata beberapa pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya.

Mereka antara pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah 'perkampungan' Rohingya di Sentul, di sini, awal pagi semalam.

Kedudukan penempatan haram terbabit 'terselit' antara kawasan rumah pangsa dan beberapa kondominium di lokasi serbuan terbabit.

Difahamkan, kawasan itu didiami Pati terutama etnik Rohingya yang bekerja di kawasan sekitar antaranya sebagai pekerja pembersihan, pembantu kedai dan pekerja pusat cuci kenderaan.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati mereka hidup seperti berada di kampung halaman dengan bercucuk tanam dan memelihara ternakan.

Pada masa sama, penempatan itu berselindung di kawasan perusahaan besi buruk yang dikelilingi pagar zink turut mempunyai sebuah kedai runcit yang menjual barangan keperluan asas.

Seorang lelaki etnik Rohingya mahu dikenali sebagai Mohammad, 39, mendakwa baru beberapa bulan menyewa di kawasan itu selepas mengetahui kewujudan perkampungan berkenaan.

Menurutnya, dia bersama isteri dan tiga anak sebelum ini menetap di sekitar Ampang, namun berpindah ke kawasan itu dengan bantuan rakan.

"Saya menyewa rumah dua bilik dengan bayaran RM400 sebulan. Saya hanya tinggal bersama isteri dan anak, dan ibu saudara saya bersama seorang anaknya tinggal berjiran dengan kami.

"Saya bekerja sebagai tukang sapu dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan sudah menetap di negara ini lebih 20 tahun," katanya.

Bincang dengan UNHCR cari 'penawar' terbaik

Perkampungan haram etnik Rohingya di Sentul diserbu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:01 PM