Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk memasukkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak ketiga dalam kes saman syarikat barang kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) terhadapnya ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Peguam Reza Rahim yang mewakili Rosmah memberitahu media, Hakim Ong Chee Kwan menolak permohonan itu atas alasan polis dan kerajaan secara prima facie bukan tortfeasor (entiti yang didapati melakukan kesalahan sivil dan mencederakan pihak lain) dan tidak bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada Rosmah bagi sebarang liabiliti dan kerugian.

Reza berkata, Rosmah bebas untuk memfailkan saman sivil baharu bagi sebarang kerugian yang mungkin dialami akibat tindakan polis dan kerajaan secara berasingan.

Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan 2 Ogos ini bagi tarikh pengurusan kes lanjut dan 2 Jun hingga 6 Jun tahun depan bagi tarikh perbicaraan.

Katanya, pihaknya diarahkan anak guam untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu hari ini di Mahkamah Rayuan.

Prosiding hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Pada 27 November tahun lalu, Global Royalty dari Lubnan gagal dalam permohonannya supaya kes saman difailkan terhadap Rosmah yang dinamakan selaku defendan tunggal, diputuskan tanpa melalui perbicaraan.

Tuntutan saman yang difailkan Global Royalty itu bertujuan mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.4 juta yang didakwa diserahkan oleh ejen syarikat itu kepada Rosmah.

Dengan keputusan itu, kes saman terbabit akan diputuskan melalui perbicaraan penuh dengan saksi kedua belah pihak dipanggil memberikan keterangan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Rosmah supaya Global Royalty memberikan jaminan kos RM75,000 kepada mahkamah, dalam tempoh sebulan, yang mana saman berkenaan akan dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.

Pada 29 Mac tahun lalu, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, dan mendakwa wanita itu berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut, ia kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Plaintif mendakwa defendan memperdayakannya dengan mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya sudah hilang.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta, namun saman itu ditarik balik pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:07 PM