Huawei MateBook X Pro (atas) dan Watch Fit 3. FOTO ihsan Huawei
Huawei MateBook X Pro (atas) dan Watch Fit 3. FOTO ihsan Huawei
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Huawei memperkenalkan dua produk revolusioner di Malaysia iaitu Huawei Watch Fit 3 dan Huawei MateBook X Pro (2024), sekali gus menandakan penambahan ketara pada barisan teknologi pintarnya.

Produk itu mengukuhkan lagi komitmen Huawei untuk menggabungkan teknologi termaju dengan reka bentuk estetik dalam menyediakan pengguna dengan produk bagi meningkatkan pengalaman digital dan gaya hidup mereka.

Huawie dalam satu kenyataan berkata, Huawei Watch Fit 3 muncul sebagai jam tangan pintar yang boleh merangkumi kedua-dua fesyen dan fungsi di mana ia direka bentuk dengan teliti dan terperinci dengan menawarkan reka bentuk elegan dan mempamerkan enam warna iaitu hijau, putih, merah jambu, hitam, putih serta nilon kelabu dengan tali berkualiti tinggi.

Ia juga dilengkapi dengan pemantauan denyutan jantung 'TruSeen' 5.5 dan penjejak tidur 'TruSleep' 4.0 terbaru yang mana Huawei Watch Fit 3 berdiri di barisan hadapan teknologi kesihatan.

Dengan ciri pintarnya, Huawei Watch Fit 3 memastikan pengguna kekal berhubung dengan harga bermula dari RM599.

Bagi Huawei Matebook X Pro (2024) pula, ia menetapkan standard baharu untuk komputer riba ultraslim yang memberikan pengguna prestasi dalam pakej yang diperhalusi.

Rekaan Ultra-Slim dicipta dengan kejuruteraan ketepatan seperti HUAWEI 'Cloud Falcon Architecture', di mana Huawei MateBook X Pro (2024) mempunyai salah satu badan yang paling ringan dan paling nipis dalam kelasnya, menjadikannya pilihan yang tepat untuk profesional dalam perjalanan tanpa menjejaskan saiz skrin.

Selain itu, bagi teknologi paparan imersif pula, ia mempunyai skrin sentuh LTPS 14.2-inci yang menawarkan resolusi 3K dan nisbah skrin ke badan 90 peratus disokong oleh gamut warna 100 peratus sRGB untuk visual yang jelas dan tepat.

Paparan tepi ke tepi juga mempunyai salutan anti-reflektif untuk mengurangkan ketegangan mata semasa waktu bekerja yang panjang dan ia juga dikuasakan oleh Intel Core Ultra 9 yang terkini untuk memberikan kelajuan dan responsif luar biasa serta mampu mengendalikan kerja reka bentuk grafik kepada pemprosesan data berkelajuan tinggi.

Huawei MateBook X Pro (2024) juga direka bentuk dengan sistem penyejukan inovatif yang merangkumi reka bentuk 'Shark Fin Fan' 3.0 Huawei dengan menggunakan kipas dwi untuk meningkatkan aliran udara dan kecekapan penyejukan bagi memastikan prestasi optimum tanpa terlalu panas.

Penyepaduan ini membolehkan pengguna menayangkan skrin telefon pintar mereka pada komputer riba dan menggunakan aplikasi telefon pintar secara langsung bagi meningkatkan produktiviti dan ketersambungan.

Harga Huawei MateBook X Pro (2024) bermula daripada RM8,999 dan pelanggan boleh mendapatkannya melalui laman Web rasmi Huawei dan peruncit sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:28 PM